Wanita jatuh sungai lari serbuan polis ditemui lemas

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) menggunakan kenderaan polis untuk proses bedah siasat
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) menggunakan kenderaan polis untuk proses bedah siasat
A
A
A

KUANTAN - Seorang wanita dipercayai penagih dadah yang hilang selepas terjatuh ke Sungai Belat di Jeti Tanjung Punai, Batu 3 di sini pada Jumaat ditemui pada Ahad.

Mayat mangsa berusia 42 tahun itu ditemui kira-kira jam 11.36 pagi oleh Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) 50 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mayat dibawa ke darat dan disahkan sebagai mangsa yang hilang berdasarkan pengecaman ahli keluarga.

"Susulan penemuan mayat mangsa itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan jam 11.50 pagi," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, operasi SAR yang ditangguhkan lewat petang Sabtu diteruskan pagi Ahad dengan kekuatan anggota 28 anggota terdiri daripada pihak polis, pasukan polis marin dan bomba.

Anggota bomba membantu mengangkat mayat mangsa ke atas kenderaan polis sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat.
Anggota bomba membantu mengangkat mayat mangsa ke atas kenderaan polis sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat.

"Operasi turut dibantu dua ekor anjing pengesan K9 bomba, Pop dan Blade.

"Pencarian bertumpu kepada rondaan menggunakan bot di sepanjang Sungai Belat dan selaman Unit Skuba Bomba di sekitar lokasi mangsa dilaporkan lemas.

"Hasil pencarian, anggota Unit Skuba Bomba telah menjumpai mangsa selepas mayatnya timbul tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan terjatuh," katanya.

Dalam kejadian Jumaat lalu, mangsa dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke Sungai Belat ketika cuba lari daripada serbuan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang yang menjalankan Ops Tapis di lokasi itu.

Siasatan awal mendapati (berdasarkan maklumat keluarga), mangsa sering ke lokasi itu untuk menghisap dadah dan ketika kejadian ada saksi ternampak wanita itu jatuh ke dalam sungai.

Kehilangan wanita itu dilaporkan salah seorang anaknya di Balai Polis Kuantan kira-kira jam 12.30 tengah hari pada Sabtu.

Dalam operasi bermula jam 6 petang hingga 8 malam itu, enam individu berjaya ditahan terdiri dua tangkapan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan empat tangkapan di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!