Premis perniagaan dikendali warga asing ditutup serta-merta

Tindakan penutupan serta-merta terhadap 14 buah premis dijalankan menerusi Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Tindakan penutupan serta-merta terhadap 14 buah premis dijalankan menerusi Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 15 premis yang dikendalikan peniaga warga Bangladesh, Indonesia dan Myanmar di sebuah pusat beli-belah di Jalan Kenanga di sini ditutup dalam serbuan yang dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Sabtu.

DBKL menerusi hantaran di Facebook memaklumkan tindakan tersebut dijalankan menerusi operasi Jabatan Penguatkuasaan DBKL kira-kira jam 10.30 malam.

"Serbuan dijalankan berdasarkan hasil risikan dan pemantauan dijalankan sekali gus mendapati beberapa premis perniagaan barangan am melibatkan aktiviti penjualan pakaian, tekstil, alatan jahitan yang dikendalikan oleh warganegara Bangladesh, Indonesia dan Myanmar.

"Semakan seterusnya dijalankan melibatkan 20 individu warga asing terdiri daripada pembantu atau pengendali premis dan hasilnya kita menemukan kesalahan-kesalahan yang berkaitan," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, tindakan penutupan serta-merta terhadap 14 buah premis dijalankan menerusi Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Antara premis yang dikesan dalam operasi yang dijalankan penguat kuasa DBKL pada Sabtu.
Antara premis yang dikesan dalam operasi yang dijalankan penguat kuasa DBKL pada Sabtu.

"Selain itu, 15 notis kompaun turut dikeluarkan terhadap premis-premis berkenaan menerusi Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 terdiri lima notis Tiada Lesen Perniagaan dan 10 notis Lantik Pembantu Tiada Kebenaran.

"Surat tunjuk sebab akan dikeluarkan selepas ini terus kepada pemilik premis warga tempatan bagi pengesyoran penamatan atau pembatalan lesen perniagaan berikutan membenarkan warga asing mengendalikan aktiviti perniagaan mereka tanpa kebenaran sah," katanya.

Menurutnya, DBKL akan meneruskan lagi tindakan pemantauan dan risikan berterusan.

"Langkah ini dilaksanakan melibatkan semua lokasi tumpuan yang lain melibatkan aktiviti-aktiviti perniagaan dikendalikan oleh warga asing," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!