'Kami masih cari masa sesuai bawa ibu ke hospital'

Laporan Sinar Harian 18 Januari lalu.
Laporan Sinar Harian 18 Januari lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Keluarga pesakit strok parkinson, Aminah Deraman, 65, masih berusaha memujuk ibu mereka untuk menerima rawatan di hospital.

Anak wanita itu, Nemah Long Mahmood, 39, berkata, mereka sekeluarga tidak menghantar ibunya sejak lebih 14 tahun lalu selepas dia memberontak dan menangis tidak mahu pergi ke hospital.

Nemah berkata, sukar untuk memberi kefahaman kepada orang ramai yang tidak mengetahui situasi sebenar ibunya itu.

"Kami sembilan beradik perlu mencari masa sesuai untuk membawa ibu ke hospital kerana simpati dengan keadaannya yang mungkin akan meraung dan menjerit jika dia berada dalam situasi selain di rumah sendiri," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Tambah Nemah, lebih merumitkan jika ibunya berdepan dengan orang ramai di kawasan awam seperti hospital selain mungkin perlu prosedur tertentu yang mengambil masa untuk diselesaikan.

Katanya, selain itu ibu juga tidak boleh menunggu lama kerana emosinya mudah terganggu dan akan memberontak sekali gus menjadi kekangan buat mereka.

Sementara itu, Nemah memberitahu ramai yang memberi sokongan selepas kisah adiknya, Nezira Tul Adawiah Long Mahmood, 24, berkorban masa menjaga ibu mereka.

"Alhamdulillah, kami ada menerima sumbangan dan wang itu dapat membeli keperluan untuk keselesaan ibu termasuk kerusi dan lampin pakai buang," ujarnya.

Sinar Harian sebelum ini menyiarkan seorang wanita di Kampung Dalam Rhu di sini terpaksa berkorban masa dan usia menjaga ibu yang menghidap penyakit strok parkinson sejak mengandungkannya.

Nezira Tul Adawiah mengambil alih tanggungjawab itu selepas semua abang dan kakaknya berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri.

Bagaimanapun, dalam tempoh dua tahun ini Aminah akan menggelupur dan meraung selepas makan ubat selain air liur dan najisnya bertukar kehitaman.

Badan Aminah turut dipenuhi parut kerana kerap melukakan diri sendiri ketika meminta ubat atau selepas diberi ubat selain menangis dan menjerit sepanjang hari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!