Isu sogok pengundi: PN sedia pasukan pembelaan
CHERAS - Perikatan Nasional (PN) menyediakan pasukan pembelaan bagi membuktikan dakwaan parti itu melakukan sogokan wang kepada pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah tidak benar.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, parti tersebut juga mempunyai bukti kukuh bagi menafikan dakwaan yang dilakukan UMNO Terengganu itu.
"Sudah tentu bila dia cabar kita dengan membuat petisyen, kita akan pastikan bahawa kita ada bukti untuk menunjukkan itu semua tidak betul. Tujuan petisyen ini semata-mata kerana tak puas hati atau sebagainya.
"Tapi kita juga ada kita punya pasukan pembelaan untuk memastikan kita menang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina PN di sini pada Ahad.
Pada 3 Januari lalu, UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.
Petisyen tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan Pas telah menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!