KKM tangani kesesakan Jabatan Kecemasan

 Dr Zaliha
Dr Zaliha
A
A
A

SHAH ALAM - Penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang perlu dirangka segera dengan semua pemegang taruh bagi mengatasi isu kesesakan di Jabatan Kecemasan demi kebaikan rakyat serta sektor kesihatan negara, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Beliau turut tidak menafikan dengan peningkatan jumlah pesakit setiap hari dan kekurangan yang pelbagai termasuk tenaga kerja serta fasiliti menyebabkan kesesakan ini.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Program Perubatan, Program Kesihatan Awam dan Program Penyelidikan dan Sokongan Teknikal di bawah timbalan ketua pengarah masing-masing telah diminta menyemak serta menganalisa data di hospital dan klinik kesihatan bagi melihat keberkesanan pelaksanaan inisiatif seperti pelanjutan waktu bekerja di fasiliti-fasiliti tertentu.

"Di samping itu, usaha untuk memperkasakan 'lean healthcare system' sedang dipertingkatkan, terutama di hospital yang berdepan masalah kesesakan di Jabatan Kecemasan.

"Bagi hospital yang mempunyai ruang, pelaksanaan 'short stay ward' akan diperkenalkan. Ia telah dilaksanakan di beberapa buah hospital," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Bagaimanapun, Dr Zaliha mencadangkan agar kriteria wad ini ditambah baik bagi mengelakkan pesakit menunggu lama khususnya di zon kuning.

"Selain itu, sistem pengurusan katil pesakit akan terus diperkemas. Ini mustahak agar penggunaan katil di hospital-hospital dapat dikawal selia dan diurus dengan baik," ujarnya.

Ujarnya, KKM juga akan terus melihat kepada model kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan, kerajaan-kerajaan negeri, badan bukan kerajaan dan sektor swasta agar isu kesesakan di Jabatan Kecemasan dapat ditangani dengan menyeluruh serta berkesan.

"Penyumberluaran dan kerjasama dengan sektor swasta misalnya telah banyak membantu semasa pandemik Covid-19 melanda.

"Model-model seperti ini akan dilihat secara lebih khusus termasuk kerjasama dengan pengamal perubatan swasta. Semestinya inisiatif seperti ini memerlukan dana yang khusus," jelasnya.

Di samping itu, katanya, KKM komited menaik taraf sistem teknologi komunikasi maklumat (ICT) sedia ada kepada sistem digital, berpotensi membantu mengatasi masalah yang wujud.

"Banyak solusi dan intevensi digital dalam perkhidmatan kesihatan telah diperkenal di negara lain dan Malaysia harus mendokong aspirasi yang sama agar perkhidmatan kesihatan dapat berjalan dengan lebih efisien," katanya.

Tambah Dr Zaliha, keperluan untuk mendapatkan lebih ramai tenaga kerja termasuk doktor, jururawat, penolong pegawai perubatan, pegawai farmasi, profession sains bersekutu, kakitangan sokongan dan lain-lain akan terus dilakukan.

"KKM akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan bagi mencari titik temu terbaik untuk menyelesaikan isu ini dalam jangka masa sederhana dan panjang," tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!