Hari keempat Op Selamat 19 catat 1,546 kemalangan
KUALA LUMPUR - Sebanyak 1,546 kemalangan direkodkan pada hari keempat Op Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina di seluruh negara.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, statistik kemalangan pada 21 Januari (Sabtu) itu membabitkan 1,928 kenderaan.
"Mengikut pecahan, kereta adalah tertinggi dengan 1,397 iaitu 72.5 peratus diikuti pacuan empat roda dengan 256 (13.3 peratus).
"Motosikal pula merekodkan 199 (10.3 peratus), lori (42 atau 2.18 peratus), van (20 atau 1 peratus), bas (11 atau 0.57 peratus) dan teksi (3 atau 0.15 peratus)," katanya pada Ahad.
Tambah Mat Kasim, JSPT menasihatkan agar semua pengguna jalan raya untuk kekal berhati-hati dan berhemah agar risiko kemalangan dapat dielakkan.
Op Selamat 19 akan berjalan selama 10 hari mulai 18 sehingga 27 Januari 2023 secara serentak di seluruh negara.
Pada 13 Januari lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain merasmikan Pelancaran Op Selamat 19 Tahun Baharu Cina di Restoran Jejantas, Ayer Keroh, Melaka (arah selatan), Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).
Dengan mengekalkan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’, Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus menumpukan usaha untuk meminimumkan kemalangan jalan raya dan meningkatkan kawalan pencegahan jenayah pecah rumah sepanjang musim perayaan.
Razarudin berkata, bagi mengurangkan kes kemalangan, PDRM menerusi JSPT akan mengaplikasikan pendekatan mendidik pengguna jalan raya supaya lebih berhemah di samping memastikan kelancaran lalu lintas demi keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.
Sepanjang pelaksanaan Op Selamat 19 juga, semua elemen JSPT termasuklah bantuan daripada Unit Dron Pasukan Gerakan Udara PDRM akan digerakkan secara optimum bagi membantu menyuraikan trafik selain pemantauan dan menunjukkan kehadiran pihak berkuasa di kawasan yang dijangka berlakunya kesesakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!