Malaysia kutuk tindakan ahli politik Sweden bakar al-Quran

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia ahli politik sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran di Stockhlom, pada Sabtu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan Sweden perlu mengambil tindakan tegas terhadap pelaku dan memastikan langkah drastik diambil pada masa depan dalam menangani kebangkitan Islamofobia yang membimbangkan itu.

Katanya, tindakan mencemar kitab suci umat Islam secara terang-terangan oleh ahli politik Sweden terbabit dan tiada sebarang tindakan diambil, ibarat bersetuju membiarkan Islamofobia.

“Ia juga merupakan provokasi besar terhadap sensitiviti bukan sahaja Turkiye tetapi lebih daripada dua bilion umat Islam di dunia.

"Malaysia mengecam jenayah yang berulang-ulang kali berlaku itu yang menyasarkan umat Islam di dunia," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Ahad.

Pada Sabtu, Rasmus Paludan telah membakar naskhah Al-Quran di Stockholm, Sweden di khalayak umum.

Jelas Anwar, Malaysia juga mengecam segala bentuk hasutan untuk membenci dan menyemarakkan perkauman sama ada dalam bentuk perkataan atau perbuatan.

“Malaysia mengulangi pentingnya menegakkan prinsip dialog, penglibatan dan saling hormat-menghormati dalam menyelesaikan pertikaian.

“Masyarakat antarabangsa juga diseru untuk menolak mereka yang bertopengkan kebebasan bersuara untuk hasutan perkauman dan keagamaan.

“Kekal bersatu menentang segala bentuk hasutan untuk kebencian dan keganasan,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!