Lori subkontraktor KDEBWM kemalangan, seorang maut

Seorang maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah lori sampah milik subkontraktor KDEBWM di Klang, pada Ahad.
Seorang maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah lori sampah milik subkontraktor KDEBWM di Klang, pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah lori sampah milik subkontraktor KDEB Waste Management (KDEBWM) di Klang, pada Ahad.

Pengarah Urusan KDEBWM, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, insiden itu berlaku apabila lori dipandu mangsa melanggar pembahagi jalan dan hilang kawalan sebelum melanggar tiang jalan.

Menurutnya, seorang kru pembersihan disahkan meninggal dunia sementara pemandu lori telah dikejarkan ke hospital menaiki ambulans.

"KDEBWM mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan berkenaan dan turut berdukacita dengan kejadian yang tidak diduga ini.

"Kami memandang serius akan kejadian ini dan menggesa semua pemandu lori KDEBWM agar lebih peka dan bertanggungjawab semasa berkhidmat menjalankan tugas," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kejadian tersebut bagaimanapun tidak melibatkan kenderaan lain.

Ujarnya, kejadian telah dilaporkan ke Balai Polis Klang dan kes sedang dalam siasatan.

"KDEBWM akan memberikan kerjasama kepada pihak IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Klang berhubung kejadian ini dan akan mendapatkan maklumat lanjut termasuk memberikan bantuan kepada mangsa kejadian.

" Kami memberi jaminan akan bekerjasama penuh dengan polis dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati cuai sehingga menyebabkan kemalangan ini," katanya.

Beliau juga memaklumkan akan membantu dan memudahcara urusan tuntutan insurans berkaitan untuk mangsa-mangsa yang terlibat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!