Dasar Perumahan Negara dikaji semula selaras intisari Madani

Dasar Perumahan Negara akan dikaji semula berdasarkan rangkuman intisari Madani mengambil kira semua kumpulan rakyat Malaysia. -Gambar hiasan
Dasar Perumahan Negara akan dikaji semula berdasarkan rangkuman intisari Madani mengambil kira semua kumpulan rakyat Malaysia. -Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Dasar Perumahan Negara sedia ada akan dikaji semula berdasarkan rangkuman intisari Madani supaya ianya dapat diterjemahkan kepada nilai kesejahteraan dan keseimbangan untuk semua kumpulan rakyat Malaysia.

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam satu kenyataan berkata, melalui pembangunan dasar perumahan baharu dan perancangan yang lebih teratur, KPKT percaya sasaran penyediaan 500,000 rumah mampu milik menjelang tahun 2025 akan berjaya melalui kerjasama semua agensi perumahan di peringkat Persekutuan, negeri dan pemaju swasta.

Menurut kenyataan itu, KPKT bersedia mengkaji inisiatif sedia ada, mencari peluang insentif baharu dan memudah cara semua bentuk prosedur dalam kelulusan pemajuan perumahan supaya dapat memberi ruang kepada pemaju perumahan swasta bergiat aktif untuk menyediakan perumahan mampu milik yang berkualiti dan selesa untuk rakyat.

"KPKT sedang mengkaji dasar perumahan negara bagi melihat sektor perumahan secara menyeluruh khususnya dalam meningkatkan pelaksanaan rumah mampu milik dan penyediaan perumahan awam.

"Justeru, KPKT akan melihat beberapa contoh dasar perumahan negara-negara lain termasuk negara jiran seperti Singapura terutamanya dalam perumahan awam dan mampu milik berdasarkan kejayaan Singapura dalam penyediaan perumahan awam, sosial untuk 80 peratus rakyat Singapura yang layak dan memerlukan tanpa mengira bangsa," kata kenyataan itu pada Isnin.

Kata kenyataan itu lagi, ia membolehkan Dasar Perumahan Negara yang baharu kelak mengambil kira pelbagai keperluan rakyat mengikut acuan budaya, adat resam, agama dan berbilang kaum di Malaysia.

"Mengambil kira aspek pengurusan perumahan mampu milik Singapura, KPKT bercadang untuk mengadakan sesi perkongsian ilmu bersama pakar perumahan daripada negara tersebut bagi mengukuhkan strategi pembangunan perumahan negara berpaksikan kerangka dasar madani yang menerapkan nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta,hormat, keyakinan dan ihsan," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!