Nelayan Vietnam guna nombor pendaftaran tempatan
KUALA TERENGGANU - Sebuah lagi bot nelayan asing yang menyamar dengan menggunakan nombor pendaftaran tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Terengganu, pagi semalam.
Bot berkenaan dikesan berada di lokasi 50 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, di sini, semasa melakukan rondaan Ops Iman, kira-kira jam 11.10 pagi.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, siasatan mendapati bot dari Vietnam itu sudah melanggar syarat lesen dan disyaki bot nelayan asing yang menggunakan nombor pendaftaran tempatan.
"Kita menahan enam awak-awak termasuk tekong berusia antara 33 hingga 46 tahun selain merampas hasil tangkapan laut, minyak diesel, bot dan peralatan menangkap ikan yang dianggar bernilai hampir RM1 juta kesemuanya.
"Bot tersebut seterusnya dibawa ke Jeti Maritim Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen Akta Perikanan 1985 kerana disyaki memalsukan dokumen bot dan juga melanggar syarat-syarat lesen," katanya dalam satu kenyataan media dikeluarkan hari ini.
Sementara itu, Muhammad Suffi berkata, sehingga April tahun ini, pihaknya berjaya menangkap sebanyak 24 tangkapan dengan penahanan seramai 162 kru warga Vietnam.
"Selain itu, kita juga berjaya memperoleh hasil dan denda sebanyak RM2,349,900 dan juga kos penahanan bot sebanyak RM350,000 pada tahun ini sehingga sekarang," katanya.
Jelasnya lagi, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran yang mana akan merugikan negara.
"Rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari masa ke semasa untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang Maritim.
"Justeru itu, kerjasama daripada masyarakat terutamanya nelayan tempatan agar dapat melaporkan sebarang maklumat dan salah laku yang berlaku di perairan negara di talian MERS 999 atau 09-6224357 ( Pusat Operasi) Maritim Terengganu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!