Saksi kemalangan maut penunggang motosikal dicari

Seorang penunggang maut selepas motosikal ditungganginya dipercayai terbabas berhampiran Ara Putra sekitar jam 7.55 malam. - Foto PDRM
Seorang penunggang maut selepas motosikal ditungganginya dipercayai terbabas berhampiran Ara Putra sekitar jam 7.55 malam. - Foto PDRM
A
A
A

PETALING JAYA - Polis sedang mengesan saksi kemalangan maut melibatkan seorang penunggang motosikal berhampiran Taman Ara Putra di Jalan PJU 1A/, Ara Damansara, di sini 5 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan jam 1.04 pagi, pada Isnin.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada 5 Januari, kira-kira jam 7.55 malam melibatkan sebuah motosikal jenis Modenas Dinamik selepas penunggangnya hilang kawalan sebelum terbabas.

"Mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan sebab kematian.

Sehubungan itu, beliau meminta saksi kejadian untuk tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Saksi kejadian juga boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Navalan Ravindran di talian 0142536820 bagi membantu siasatan," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!