75,414 orang di Sabah daftar eKasih

Datuk Ewon Benedick
Datuk Ewon Benedick
A
A
A

KOTA KINABALU - Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata 75,414 orang di seluruh Sabah berdaftar di bawah Sistem eKasih sehingga 1 April 2019, dengan 18,076 daripadanya berada dalam kategori miskin tegar, 20,259 orang (kategori miskin) dan seramai 37, 079 dalam kategori 'terkeluar' (kategori lebih baik).

“Perancangan struktur serta peruntukan membasmi kemeskinan tegar telah disediakan oleh kerajaan negeri dan persekutuan. Manakala sistem pengkalan data yang komprehensif telah diwujudkan di bawah sistem eKasih di mana jumlah kemiskinan di setiap daerah dapat dikenal pasti.

“Oleh itu institut pejabat daerah yang dikawalselia oleh kementerian saya memainkan peranan yang sangat signifikan dalam menerajui pentadbiran di luar bandar dan menjadi ‘focal point’ kepada penyelasaian segala jenis masalah yang dihadapi masyarakat di luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ewon berkata kementeriannya akan terus memperkasakan kerjasama dengan KPLB Persekutuan khususnya dalam usaha menangani keperluan sebenar Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Sabah.

“Ini termasuk syor kementerian saya bagi Pelan Pusingan Ke-4 Rancangan Malaysia Kesebelas pada tahun hadapan iaitu sekurang-kurangnya 1,000 buat rumah PPRT bina baharu dilaksanakan di Sabah. Kita telahpun menghantar syor ini melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob dalan ucapan penggulungan kementeriannya berkata pihaknya bersama Yayasan Sabah akan menganjurkan Karnival Pendidikan yang julung kalinya diadakan di Sabah dari 3 Mei sehingga 5 Mei 2019.

“Sebanyak 160 penyelia latihan akan berkampung di perkarangan Bangunan Menara Tun Mustapha untuk menguar-uarkan latihan yang mereka kendalikan. Selain itu terdapat juga majikan yang akan mencari pekerja semasa program itu diadakan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Yusof berkata seramai 16,356 orang pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan di pelbagai sektor melalui Program Kembara Kerjaya, Karnival Pekerjaan dan Train and Ride yang menjelajah ke daerah-daerah di seluruh Sabah sepanjang 2018.

Sementara itu, beliau berkata kementeriannya dengan kerjasama Bahagian Teknologi Pendidikan Malaysia serta beberpa kumpulan produksi TV dan Radio tempatan dalam proses menghidupkan kembali rancangan TV dan radio pendidikan di Sabah.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia atau Tabung Kanak-Kanak pertubuhan berkenaan komited untuk menyokong usaha ini dengan memberi sokongan dari segi dana dan sokongan teknikal. Rancangan kerjasama strategik ini dijangka akan dimulakan pertangahan tahun ini,” katanya.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!