Kembalikan etnik Baba dalam sijil kelahiran

Ronald
Ronald
A
A
A

MELAKA - Persatuan Peranakan Baba Nyonya menyeru Kerajaan Perpaduan mengiktiraf etnik minoriti itu melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Presidennya, Datuk Ronald Gan berkata, pada tahun 1940-an status kaum Baba pernah wujud dan diperakui dalam sijil kelahiran namun tidak lagi dikekalkan sehingga sekarang.

Menurutnya, kini etnik yang dekat dengan gaya kehidupan Melayu itu tidak mempunyai kategori subetnik yang jelas hinggakan terpaksa ditandakan pada petak 'lain-lain' dalam semua jenis pendaftaran maklumat peribadi.

"Sebelum negara merdeka, Baba ini diiktiraf dan terdapat ruangan suku kaum dalam sistem JPN kategori Baba, tapi sekarang tidak ada dalam sijil kelahiran.

"Saya tidak tahu mengapa ia tidak dikekalkan, seolah-olah kami Baba Nyonya rasa tidak ada status langsung dalam negara," katanya ketika ditemui di kediamannya sempena Tahun Baharu Cina di Bukit Nibong, Ayer Molek di sini, pada Isnin.

Jelas beliau, begitu juga seperti Bumiputera, sebagai contoh Melayu boleh memilih kategori subetnik seperti Melayu Minangkabau, begitu juga Cina Hokkien, Cina Hailam, India Malayalam dan sebagainya.

Ujarnya, berharap Kerajaan Perpaduan dapat membawa reformasi mengiktiraf kaum itu di bawah JPN dengan menyediakan pilihan subetnik atau kaum Baba Nyonya sebagai identiti warganegara.

"Kerajaan baharu diharap prihatin agar di bawah JPN ada satu pilihan untuk kami dan dikembalikan semula seperti sebelum ini.

"Kami akur untuk memilih bangsa Cina, akan tetapi mestilah Cina Baba, dan bukannya Cina Hokkien," katanya lagi.

Tambahnya, harapan mereka bukan bermaksud untuk meminta diberikan hak keistimewaan, tetapi hanyalah pengiktirafan sekali gus membantu Jabatan Perangkaan negara untuk mengemas kini data jumlah golongan minoriti itu dengan lebih tepat.

"Terdapat enam persatuan besar etnik Peranakan atau Baba Nyonya termasuk di Kelantan, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Terengganu dengan anggaran jumlah ahli seramai 9,000 orang," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!