Jadi gelandangan akibat masalah dadah, keluarga

Nicole (berdiri) menyantuni penghuni di rumah transit gelandangan Negeri Sembilan, Rumah Minda Ceria (RMC), Seremban pada Isnin.
Nicole (berdiri) menyantuni penghuni di rumah transit gelandangan Negeri Sembilan, Rumah Minda Ceria (RMC), Seremban pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Masalah penagihan dadah dan keluarga antara faktor menyebabkan beberapa individu di rumah transit gelandangan Negeri Sembilan, Rumah Minda Ceria (RMC) mengambil keputusan untuk menjalani kehidupan di jalanan.

Asif (bukan nama sebenar), 31, merupakan salah seorang gelandangan yang diselamatkan pihak berkuasa dua tahun lalu memberitahu bahawa kehidupannya berubah selepas terlibat dengan penagihan dadah.

Menurutnya, masalah tersebut bukan hanya menyebabkannya hilang pekerjaan, malah turut kehilangan keluarga, sehingga dia memutuskan untuk hidup sebagai gelandangan.

"Keluarga pernah nasihat (tidak ambil dadah dan menghidu gam) tetapi saya masih mengambil barang terlarang itu tambahan pula tersalah memilih kawan sehingga disahkan menghidap sakit mental disebabkan penyalahgunaan dadah.

"Sekarang alhamdulillah semakin baik, namun masih perlu mengambil ubat mengikut jadual yang ditetapkan oleh doktor," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumah transit geladangan Negeri Sembilan, RMC pada Isnin.

Asif diselamatkan pihak berkuasa dalam satu operasi gelandangan pada September 2021 ketika sedang menghidu gam dekat tangga di hadapan padang Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

Berbeza pula dengan seorang lagi penghuni rumah transit di situ dikenali sebagai Ariffin, 24, mendakwa berjalan kaki dari Pahang ke negeri ini selepas tiada tempat untuk dituju kerana mengalami masalah dengan keluarga selain ketagihan gam.

Dia diselamatkan pihak berkuasa dan RMC dua minggu lepas selepas didapati tidur di kaki lima sebuah kedai makan di kawasan Rahang di sini dalam keadaan tidak terurus.

Sementara itu, seorang lagi penghuni paling tua dikenali sebagai Chong, 82, berkata, menjadi gelandangan sejak lebih dua tahun lalu bukanlah pilihan terbaik, namun disebabkan mempunyai masalah keluarga dia memilih hidup di jalanan.

"Mungkin selepas ini saya akan ke rumah orang-orang tua," katanya yang enggan bercerita lebih lanjut mengenai pengalaman pahitnya sebagai gelandangan.

Sebelum itu, Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon turut hadir menyantuni penghuni di RMC bersama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan, Rosnah Sardi.

Jelas Nicole, setakat ini terdapat 11 individu yang kesemuanya lelaki berumur 24 hingga 82 tahun ditempatkan di rumah berkenaan.

"Sejak RMC ditubuhkan pada 2020, lebih kurang 50 gelandangan yang berlindung di sini berjaya kembali ke pangkuan masyarakat seterusnya menjalani kehidupan normal selain ada yang mampu berdikari dan mendapat pekerjaan.

"RMC adalah pusat perlindungan dan pemulihan bagi gelandangan yang tidak mempunyai tempat tinggal, tidak mempunyai pekerjaan, mengemis dan merayau-rayau dari satu tempat ke satu tempat," katanya.

Nicole yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kepayang berkata, RMC turut menjalankan program pemulihan kepada golongan gelandangan termasuk yang mengalami sakit mental.

"Keseluruhan program perlindungan, pemulihan dan pengintegrasian ini dijangkakan mengambil masa satu hingga dua tahun bergantung kepada golongan gelandangan terbabit," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!