Malaysia berpotensi negara maju jika bersihkan rasuah - PM
BAYAN LEPAS - [DIKEMAS KINI] Malaysia berpotensi untuk diangkat sebagai salah sebuah negara maju sekiranya mampu membersihkan negara daripada amalan rasuah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia mampu naik semula sekiranya tiada pihak yang mencuri atau merompak kekayaan negara.
Menurutnya, selain itu, negara akan kembali kuat sekiranya penjawat awam tertinggi dan badan penguatkuasaan tidak lagi menggunakan kuasa mereka dalam memperoleh kekayaan yang bukan milik mereka melalui kontrak yang diberi.
"Rakyat Malaysia perlu berani untuk tolak diskriminasi, isu perkauman serta rasuah, saya percaya jika kita berjaya menolak semua ini, kita akan mengecapi apa yang belum kita peroleh sebelum ini.
"Komisen itu ok, 'corruption' no. Sedekah itu, jika untuk amal jariah, itu pun ok. Tetapi jika sedekah untuk mendapatkan undi dalam pilihan raya, itu rasuah," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2023 Ketua Menteri Pulau Pinang di Spice Arena, di sini pada Isnin.
Turut hadir, Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, isteri, Toh Puan Khadijah Mohd Nor, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan barisan pemimpin negeri lain.
Anwar turut mengingatkan agar semua rakyat Malaysia hidup dalam suasana aman, hormat-menghormati serta berkasih sayang antara satu sama lain.
Kata beliau, perbezaan agama, warna kulit dan bangsa bukan pilihan kita sebagai manusia sebaliknya sudah ditentukan oleh Tuhan.
"Tiada makna pembangunan sekiranya tiada persefahaman yang dipupuk antara kita rakyat Malaysia. Semua rakyat perlu menerima perbezaan agama dan kaum di negara ini sebagai kekuatan dalam menyatukan antara satu sama lain.
"Konsep Madani yang diperkenalkan tidak akan memberi makna sekiranya masih ada persaingan dan fahaman sempit antara agama dan kaum dalam kalangan rakyat," katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, tindakan Kerajaan Pulau Pinang yang memusatkan pembangunan ekonomi yang seiring dengan keadilan sosial kepada rakyat termasuk golongan miskin bandar dan B40 wajar dipuji.
Katanya, pembangunan yang seimbang dan adil kepada semua kumpulan rakyat tersebut tidak boleh dilakukan sekiranya ekonomi negara tidak dapat dipacu dengan lebih maju dan berjaya.
"Seperti yang saya tekankan sebelum ini, agihan kekayaan perlu seimbang yang mana kita perlu buat sesuatu yang lebih untuk masyarakat golongan rendah dan B40, barulah pembangunan itu lebih seimbang dan adil. Inilah yang Pulau Pinang sudah lakukan.
"Pembangunan yang seimbang dan adil kepada semua kumpulan rakyat tidak boleh dilakukan sekiranya ekonomi negara tidak dapat dipacu dengan lebih maju dan berjaya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!