Cemas tembok rumah dirempuh kereta

Keadaan pagar rumah yang dirempuh sebuah kereta Honda City di Bukit Senjuang di sini, pada Isnin.
Keadaan pagar rumah yang dirempuh sebuah kereta Honda City di Bukit Senjuang di sini, pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Lima beranak berdepan detik cemas apabila tembok rumah yang disewa mereka di Bukit Senjuang di sini dirempuh sebuah kereta pada pagi Isnin.

Kejadian kira-kira jam 8 pagi itu menyebabkan tembok dan pagar rumah yang didiami keluarga berkenaan runtuh selain dua buah basikal serta sebuah motosikal yang diletakkan dalam garaj juga mengalami kerosakan.

S Saratha 41, yang bekerja sebagai jurubahasa mahkamah berkata, ketika kejadian dia sekeluarga berada di dalam rumah sebelum dikejutkan bunyi dentuman kuat dari arah depan rumah.

Menurutnya, selepas bergegas ke luar rumah dia mendapati sebuah kereta jenis Honda City berwarna putih yang dipandu lelaki berusia 28 tahun remuk selepas merempuh tembok batu rumah.

Basikal anak Saratha turut mengalami kerosakan akibat rempuhan kereta itu.
Basikal anak Saratha turut mengalami kerosakan akibat rempuhan kereta itu.

Katanya, pada hari bekerja mereka sekeluarga termasuk suaminya Senthil Kumar, 45, serta tiga anaknya masing-masing berusia 20,15 dan 13 tahun biasanya akan bersarapan di garaj depan rumah namun bernasib baik kejadian berlaku pada hari cuti.

"Kebiasaan sebelum saya ke tempat kerja kami akan sarapan bersama di garaj, namun kerana cuti umum Tahun Baharu Cina jadi anak-anak bangun lewat.

"Apa pun saya bersyukur kami sekeluarga terselamat dalam kejadian rempuhan itu biarpun masih terkejut," katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, kejadian itu mengakibatkan dia mengalami kerugian dianggarkan bernilai hampir RM20,000 dan laporan polis telah dibuat untuk tuntutan ganti rugi terhadap individu tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Assisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!