Bakar al-Quran: Salah guna prinsip kebebasan bersuara
SHAH ALAM - Tindakan biadab ahli politik Sweden-Denmark, Rasmus Paludan yang membakar naskhah al-Quran disifatkan telah menyalahgunakan prinsip kebebasan bersuara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, tindakan membakar al-Quran yang menjadi kitab suci agama Islam itu mestilah dibantah sekeras-kerasnya.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menggesa pemerintah Sweden agar mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan provokatif tersebut yang bertujuan untuk mewujudkan ketidaktenteraman masyarakat dunia,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Pada Sabtu, Rasmus Paludan menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, bertindak membakar al-Quran dengan pemetik api.
Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Tambah Mohd Na'im, masyarakat juga diseru menghormati kemuliaan agama Islam, membudayakan dialog dan menyemarakkan nilai-nilai kehormatan sejagat bagi mewujudkan keharmonian.
“Kenyataan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ahli politik Sweden itu juga telah membuktikan kesungguhan Malaysia untuk menentang sebarang bentuk keganasan dan kebencian khususnya Islamofobia,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!