Bakar al-Quran: Majlis Ulama UMNO tuntut Sweden mohon maaf

Dusuki
Dusuki
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Ulama UMNO menuntut kerajaan Sweden memohon maaf kepada seluruh umat Islam dan masyarakat antarabangsa ekoran kegagalannya membendung tindakan islamofobia ahli politik negara itu membakar al-Quran baru-baru ini.

Pengerusinya, Datuk Dusuki Ahmad berkata, perbuatan ekstrem itu dikecam sekeras-kerasnya kerana ia adalah penghinaan terhadap agama dan merobek perasaan seramai lebih dua bilion penganut Islam di seluruh dunia.

“Penghinaan terhadap mana-mana agama ditolak oleh masyarakat dunia kerana ia mencetuskan pertembungan sesama manusia.

“Ia juga jelas bertentangan dengan etika kemasyarakatan yang menghormati hak asasi manusia untuk mengamalkan agama anutan mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Sabtu, pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, Rasmus Paludan menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm bertindak membakar al-Quran dengan pemetik api.

Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Dusuki menegaskan, tindakan melampau itu bukan sahaja bakal menyuburkan lagi emosi kebencian sesama manusia dan merobek keamanan bermasyarakat, malah boleh mencetuskan tindakan provokasi serta tindak balas termasuk keganasan.

Pada masa sama, beliau turut menyeru ulama dan umat Islam supaya terus mendoakan agar kebenaran Islam akan terus terserlah di seluruh dunia dan memberikan keselamatan kepada penganutnya di mana sahaja mereka berada.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!