Keabsahan PAU biar RoS tentukan - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid ketika ditemui pemberita pada Isnin.
Ahmad Zahid ketika ditemui pemberita pada Isnin.
A
A
A

BAGAN DATUK - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk menentukan keabsahan laporan persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.

Beliau berkata, laporan yang mengandungi usul tambahan berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertanding itu perlu diabsahkan agar dapat menghentikan segala pertikaian yang timbul dalam kalangan segelintir ahli.

Menurutnya, secara dasarnya persidangan yang berakhir pada 14 Januari lepas telah berlangsung mengikut perlembagaan parti dengan semua peraturan mesyuarat dituruti satu persatu mengikut aturan ditetapkan.

"Jadi jika ada laporan atau sebarang aduan yang dibuat pada RoS, UMNO sangat terbuka untuk mereka mengemukakannya.

"Biarlah RoS menerima keputusan yang dibuat pada perhimpunan agung lalu sebagai keputusan yang diabsahkan.

"Tentunya sebarang analisis dan spekulasi yang datang daripada mereka yang tidak berpuas hati itu, RoS yang akan memuaskan hati mereka," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, sepertimana termaktub dalam Akta Pertubuhan 1966, sudah menjadi ketetapan kepada mana-mana pertubuhan berdaftar untuk mengemukakan laporan persidangan kepada RoS.

Bagaimanapun katanya, laporan berkenaan bukanlah bagi tujuan kelulusan, tetapi makluman untuk diabsahkan.

"Yang penting sekarang perpaduan dalam kepimpinan UMNO dapat dipertahankan.

"Kita akan lihat selepas ini pemilihan cawangan dan peringkat bahagian mengikut aturan seperti yang terdapat dalam aturan mesyuarat persidangan," katanya.

Pada Jumaat lepas, dua ahli UMNO menghantar notis bantahan kepada RoS mendakwa parti itu telah melanggar perlembagaan pada PAU 2022 yang lalu.

Mereka menyatakan usul tambahan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan diperkenalkan semasa ucapan pencadang usul Ucapan Dasar Presiden pada persidangan tersebut.

Tindakan tersebut telah melanggar Peraturan 10 yang mana menyatakan sebarang usul perlulah disampaikan dalam tempoh 14 hari.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan tindakan dua ahli UMNO berkenaan sebagai tepat dan berani.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!