'Kami harus bangkit semula'

Kekecewaan jelas terpancar pada wajah setiap pemain negara selepas kekalahan kepada Sepanyol di Stadium Kalinga, Bhubaneswar pada Ahad. - FOTO: FB MHC
Kekecewaan jelas terpancar pada wajah setiap pemain negara selepas kekalahan kepada Sepanyol di Stadium Kalinga, Bhubaneswar pada Ahad. - FOTO: FB MHC
A
A
A

SKUAD hoki negara kalah dengan bermaruah apabila tumbang di tangan wakil Eropah, Sepanyol dalam aksi crossover Piala Dunia 2023 di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India pada Ahad.

Pengendali Malaysian Tigers, Arul Selvaraj berkata, barisan pemainnya telah menunjukkan semangat melawan cukup tinggi dalam aksi tersebut yang terpaksa ditentukan menerusi penalti shoot-out.

Beliau turut kagum dengan aksi yang ditampilkan Malaysian Tigers yang memberikan sepenuh tenaga bangkit berjuang untuk mendapatkan gol sehingga penghujung perlawanan.

“Kecewa tetap kecewa kerana kami kalah di peringkat shoot-out, tetapi pemain-pemain saya telah beraksi bermati-matian. Mereka tewas dengan maruah yang tinggi.

“Para pemain telah menunjukkan sesuatu yang boleh dibanggakan. Walaupun ketinggalan jaringan, kami terus berusaha untuk mendapatkan gol penyamaan dan ia berhasil,” katanya.

Terdahulu, tuah tidak memihak kepada Malaysian Tigers apabila tewas 3-4 di tangan Sepanyol menerusi penentuan penalti shoot-out dalam perebutan tiket ke suku akhir itu.

Pemenang terpaksa ditentukan menerusi shoot-out selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 sebaik tamat masa sebenar yang menyaksikan Faisal Saari dan Shello Silverius meledak gol buat Malaysia.

Selepas terikat 3-3 dalam lima shoot-out, perlawanan dilanjutkan menerusi shoot-out sudden death yang menyaksikan Firhan Ashari gagal merobek gawang Sepanyol.

“Kekecewaan hari ini (Ahad) kami akan selesaikan malam ini sebab esok (Isnin) kita akan mulakan hari yang baharu. Kami fokus kepada aksi menentang Afrika Selatan pada 26 Januari.

“Kami harus bangkit semula. Diharapkan semua (penyokong) di Malaysia memberi sokongan penuh kepada pemain untuk mencapai kedudukan terbaik di nombor sembilan,” jelas Arul.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!