Manja Vendor tawar juadah tular di media sosial
PASIR GUDANG - Kegagalan mengusahakan tanaman sayur dengan menyewa tanah milik sebuah masjid di Taman Tanjung Puteri Resort di sini tahun lalu tidak pernah membantutkan semangat orang kurang upaya (OKU), Jamaluddin Abdul Malik, 45.
Malah episod kegagalan mengusahakan kebun sayur bersama-sama tujuh rakan OKU itu dilihat sebagai isyarat berharga dan pengalaman untuk mereka bangkit semula.
Dia yang juga Presiden Persatuan Sokongan Kebajikan Wawasan OKU Johor Bahru berkata, kegagalan itu menjadi titik tolak kepadanya untuk membuka sebuah kedai menjual makanan dan minuman di Taman Scientex di sini bulan lalu.
Memilih nama kedai sebagai Manja Vendor, bapa kepada lima itu memilih untuk menjual makanan dan minuman yang pernah tular dalam media sosial.
“Manja Vendor dibuka dari jam 11 pagi hingga 9 malam setiap hari. Pelbagai makanan dan minuman sesuai untuk makan pagi dan petang dijual bermula dari harga RM6 hingga RM30.
“Antaranya makanan basah poket Doraemon dengan perisa ayam dan daging, cheezy bread lasagna iaitu campuran roti dengan ayam dan daging lembu, miang pla too iaitu udang dan sayur, salad rolls, bebola daging dan popia crispy cheese.
“Makanan lain ialah nasi impit daging dendeng, kek kukus, kek cheese, Kek tapak kuda dan kek durian cheese serta pelbagai produk asam botol,” katanya ketika ditemui di kedainya baru-baru ini.
Dia berkata, Manja Vendor turut menjual 10 jenis biskut moden antaranya cranbery dan crunch almond, tidak ketinggalan biskut tradisional seperti kuih bangkit, kuih siput dan tart nanas.
Begitu juga katanya, pelanggan boleh menikmati coklat, roti manis dan roti berempah selain pau serta makanan sejuk beku ikan D'Sayang Sumsum.
“Selain itu ada juga pelbagai dessert atau pencuci mulut misalnya koktel, buko kopi, durian creepe dan nutella,” ujarnya.
Tambahnya, pelbagai kerepek seperti ubi pedas, bawang, belinjau, bayam, nangka, ubi pedas dan ubi keju juga boleh didapati.
Jamaluddin berkata, kedainya turut menyediakan bouquet untuk majlis konvokesyen, majlis keraian dan sambutan hari lahir.
“Istimewanya kita bukan sahaja menjual makanan dan minuman tetapi pelanggan boleh datang makan atau minum di Manja Vendor kerana kita turut menyediakan kerusi dan meja di dalam kedai yang berhawa dingin.
“Kita turut menyediakan minuman khas dipanggil Kopi Manja yang ada kelas tersendiri dengan rasanya tidak pahit tetapi kelat. Kopi ini bagus untuk kesihatan,” katanya.
Selain Kopi Manja ujarnya, kedainya turut menjual minuman sejuk seperti sparkling lemon dan blue soda strawberry.
Menurutnya, semua produk berkenaan dihantar oleh lebih 40 usahawan kecil-kecilan di daerah ini yang menghasilkan produk di rumah termasuk usahawan daripada persatuan OKU yang menghasilkan biskut, produk asam botol serta roti.
Jamaluddin yang turut menjalankan perniagaan katering untuk kenduri kahwin dan majlis keraian berkata, pada bulan depan Manja Vendor akan menambah menu baharu iaitu nasi lemak dan ikan siakap goreng.
“Saya juga bercadang membesarkan perniagaan pada masa akan datang dengan memohon suntikan dana daripada kerajaan, menambah produk OKU dan membuka kelas kemahiran untuk OKU di belakang kedai seperti membuat kek, urutan serta membaiki kerusi roda,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!