Atasi isu kemalangan jalan raya ketika musim perayaan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Apabila menjelang sahaja musim perayaan, jalan raya utama pastinya akan penuh sesak dengan kenderaan yang ingin keluar bercuti ataupun pulang ke kampung halaman masing-masing.

Namun begitu, tidak semua dapat merasai kebahagian bercuti bersama keluarga yang tercinta kerana ada yang berduka dan kehilangan orang tersayang akibat kemalangan jalan raya.

Masyarakat perlu peka berhubung isu-isu membabitkan keselamatan jalan raya supaya semua pengguna jalan raya mempunyai kesedaran dan bertindak sebelum kejadian tidak diingini berlaku.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim memaklumkan bahawa sebanyak 1,445 kemalangan dicatatkan di seluruh negara menjelang hari kelima Op Selamat ke-19 sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina pada Ahad.

Ujar beliau, jumlah kemalangan itu melibatkan sebanyak 1,724 kenderaan pelbagai jenis.

Jumlah berkenaan berdasarkan statistik di seluruh negara bermula 18 hingga 21 Januari membabitkan sebanyak 52 kemalangan maut sepanjang tempoh terbabit.

Mat Kasim menjelaskan, berdasarkan statistik, jumlah mengikut kenderaan terlibat dalam kemalangan jalan raya menunjukkan kereta mencatatkan 75.99 peratus iaitu sebanyak 1,310 buah.

Selain itu, beliau berkata, pacuan empat roda mencatatkan 13.34 peratus daripada jumlah keseluruhan iaitu sebanyak 230 buah terlibat kemalangan di seluruh negara pada Ahad.

Tambahnya, jenis kenderaan selebihnya terdiri daripada motosikal sebanyak 17 buah, bas (11), van (sembilan), teksi (dua) dan sebuah ambulans turut terlibat dalam kemalangan.

Kes-kes kemalangan itu ternyata membimbangkan ramai orang meskipun pelbagai peringatan dan amaran telah diberikan.

Apatah lagi selepas perayaan Tahun Baharu Cina, tidak lama lagi perayaan Hari Raya Aidilfitri pula akan tiba.

Sudah pastinya kerajaan perlu memikirkan cara atau langkah terbaik bagi mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku.

Pada masa yang sama, saranan daripada pakar keselamatan jalan raya atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga penting dalam isu tersebut supaya kerajaan dapat menilai dan mengambil kira semua solusi yang ada sebelum memutuskan langkah penyelesaian yang terbaik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!