Bangkit daripada kemurungan, OKU buka kedai gunting

Mohamad Arif menggunting rambu pelanggannya di kedainya di Taman Gembira, Bukit Batu, Kulai pada Isnin.
Mohamad Arif menggunting rambu pelanggannya di kedainya di Taman Gembira, Bukit Batu, Kulai pada Isnin.
A
A
A

KULAI - Bekas atlet Para Sukan Malaysia (Sukma) 2022, Mohamad Arif Ahmad, 23, seakan 'mati hidup semula' selepas berjaya bangkit daripada fasa kemurungan yang membelenggu hidupnya sejak Disember 2017.

Anak bongsu daripada enam beradik itu pernah dilanda kemurungan yang serius selepas disahkan lumpuh dari pinggang ke bawah akibat kemalangan jalan raya pada tahun tersebut.

Dia terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Kampung Sepakat Jaya, Senai di sini sewaktu bekerja sebagai penghantar makanan.

Sejak menjadi orang kurang upaya (OKU), dia merasakan dunia seakan terhenti dan bagaikan tiada masa depan buatnya yang baru tamat persekolahan.

Namun selepas beberapa kali menjalani proses pemulihan, dia seakan mendapat 'semangat' baharu walaupun doktor memberitahu ibunya kecederaan tulang belakang dan terhimpit dengan saraf tunjang akan menyebabkannya tidak lagi mampu berjalan seperti sebelum ini.

Muhammad Arif enggan menjadikan kecacatan kekal yang dialaminya sebagai penghalang untuknya mengejar impian mempunyai perniagaan sendiri dan mampu berdiri di atas kaki sendiri.

"Saya kini mengusahakan kedai gunting rambut sejak setahun lalu. Saya menjalankan perniagaan kedai gunting rambut setelah mempunyai kemahiran ini sejak zaman persekolahan lagi.

"Bagi memudahkan pergerakan saya membeli sebuah kerusi roda jenis hidraulik yang membolehkan saya berdiri dan menggunting rambut pelanggan seperti biasa selain melakukan aktiviti harian lain.

Muhammad Arif menggunakan kerusi roda jenis hidraulik bagi membolehkannya berdiri dan menggunting rambut pelanggan.
Muhammad Arif menggunakan kerusi roda jenis hidraulik bagi membolehkannya berdiri dan menggunting rambut pelanggan.

"Saya membeli kerusi roda hidraulik ini secara dalam talian berharga RM20,000. Ia sangat membantu dan menyokong saya untuk berada di posisi tegak (berdiri) ketika menggunting rambut pelanggan," katanya.

Dia ditemui di kedai gunting yang diusahakan bersama dua rakan kongsinya di Taman Gembira, Bukit Batu di sini pada Isnin.

Walaupun mempunyai kerusi roda hidraulik, Muhammad Arif tidak boleh dalam posisi berdiri terlalu lama kerana lututnya akan bergetar.

Menurutnya, dia perlu berehat kira-kira 10 minit setiap tiga jam sebelum kembali bekerja dan mengakui kerusi hidraulik berkenaan sangat membantu dan memudahkannya untuk bergerak.

Dia lega kerana mampu mengharungi kemurungan sebelum ini dan kini tidak mahu lagi menoleh ke belakang serta mahu meneruskan kehidupan baharu.

"Sebelum ini, saya merasa kemurungan dan tak tahu apa yang mahu dilakukan.

Namun berkat sokongan keluarga, saya mula menerima keadaan saya yang bukan lagi insan normal yang lain.

"Apabila berjumpa dengan rakan senasib (OKU) yang lain sebelum ini, kata-kata semangat mereka menjadi pemangkin buat saya memulakan hidup baharu di bangku kerusi roda," katanya.

Muhammad Arif yang pernah mewakili Johor pada temasya Sukma 2022 di Wilayah Persekutuan pada tahun lalu bercita-cita untuk mengembangkan perniagaan bersama-sama rakannya.

Mohamad Arif menggunakan kerusi roda hidraulik yang dibeli secara dalam talian dengan harga RM20,000.
Mohamad Arif menggunakan kerusi roda hidraulik yang dibeli secara dalam talian dengan harga RM20,000.

Pemenang dua pingat gangsa acara ping pong individu dan beregu Para Sukma 2022 itu mahu menjadi usahawan yang berjaya dan membahagiakan ibu bapanya.

"Status OKU tidak seharusnya menjadi penghalang buat mana-mana individu melakarkan kejayaan, mengejar cita-cita mereka. Ramai usahawan OKU di luar sana yang turut bermotivasi tinggi, itu boleh dijadikan contoh.

"Ibu juga gembira lihat saya ceria seperti sedia kala dan tidak lagi risau apabila saya berada di luar tanpanya di sisi," katanya.

Kedai gunting rambut yang diusahakan anak muda tersebut dibuka setiap hari kecuali Isnin selain turut memberikan perkhidmatan menggunting rambut secara percuma bagi golongan OKU.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!