Bakar al-Quran: Tindakan biadab, tuntut permohonan maaf
SHAH ALAM - Tindakan ahli politik Sweden-Denmark, Rasmus Paludan yang membakar naskhah al-Quran semata-mata kerana perselisihan pendapat mengenai kandungannya disifatkan biadab dan tidak bertamadun.
Naib Ketua dan Pengarah Biro Antarabangsa Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional, Anfaal Saari berkata, kebebasan bersuara tidak boleh disalahgunakan untuk mengganggu keamanan selain tidak boleh digunakan sebagai umpan agama bagi menimbulkan kebencian antara pihak yang cintakan keamanan.
"Kita mengutuk sekeras-kerasnya kerajaan Sweden yang membenarkan pembakaran al-Quran oleh ahli politik sayap kanan semasa protes di luar Kedutaan Turki di Stockholm, Sweden.
"Perbalahan diplomatik antara Sweden dan Turki tidak melibatkan al-Quran sama sekali. Oleh itu, tindakan membakar al-Quran adalah gimik karut dan tidak matang untuk mencetuskan kemarahan umat Islam serta mengganggu keamanan.
"Jika sesiapa mempunyai sebarang masalah dengan al-Quran, jalan ke hadapan adalah dengan melibatkan diri dalam dialog dan perbincangan dengan cendekiawan Islam mengenai kandungannya dan bukannya membakar al-Quran," katanya di Facebook rasmi Parti Amanah Negara (Amanah) pada Selasa.
Pada Sabtu, Rasmus Paludan menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, bertindak membakar al-Quran dengan pemetik api.
Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Dalam pada itu, Anfaal berkata, negara Islam di seluruh dunia mengecam tindakan membakar al-Quran selain melabelkan ia sebagai tindakan tidak masuk akal dan memalukan pihak berkuasa Sweden kerana membenarkan perkara tersebut berlaku.
Justeru, beliau berkata, AWAN Nasional menuntut permohonan maaf oleh pelaku dan tindakan segera oleh kerajaan Sweden terhadap sentimen Islamofobia yang semakin meningkat di Sweden.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!