Tindakan bakar al-Quran boleh cetus provokasi

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

SHAH ALAM - Perbuatan membakar al-Quran oleh segelintir individu yang tidak bertanggungjawab boleh mencetuskan provokasi antara masyarakat dunia.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, umat Islam hanya mahu kehidupan yang damai seiring perkataan Islam yang membawa maksud aman dan sejahtera.

"Mengapa anda membakar kita suci kami al-Quran kalam ALLAH? Berjuta naskah kami akan cetak dan sebarkan sebagai ganti yang dibakar itu.

"Perkataan Islam membawa maksud aman dan sejahtera. Membakar al-Quran tentu cetus provokasi. Jangan bermusuh dengan kami kerana kami ingin hidup yang damai," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa.

Terdahulu media melaporkan, negara Arab dan seluruh dunia Islam termasuk Malaysia mengecam tindakan pelampau sayap-kanan Sweden-Denmark, membakar al-Quran di ibu negara Sweden, Stockholm.

Ketua Parti Stram Kurs, Rasmus Paludan, yang kini di bawah perlindungan polis mendapat kebenaran daripada kerajaan untuk membakar senaskhah al-Quran di luar Kedutaan Turkiye di Stockholm, Sabtu lalu.

Sementara itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan, kerajaan Sweden perlu mengambil tindakan tegas terhadap pelaku dan memastikan langkah drastik diambil pada masa depan dalam menangani peningkatan membimbangkan Islamofobia di negara berkenaan.

Katanya, tindakan mencemar kitab suci umat Islam secara terang-terangan oleh ahli politik Sweden terbabit dan tiada sebarang tindakan diambil, ibarat bersetuju membiarkan Islamofobia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!