14 penumpang bas ditembak mati di Pakistan

Mayat penumpang bas yang maut ditembak sekumpulan penyerang bersenjata menawan bas penumpang di wilayah Balochistan hari ini. - Foto Business Recorder
Mayat penumpang bas yang maut ditembak sekumpulan penyerang bersenjata menawan bas penumpang di wilayah Balochistan hari ini. - Foto Business Recorder
A
A
A

BALOCHISTAN - PAKISTAN. Sekurang-kurangnya 14 orang dilaporkan maut apabila sekumpulan penyerang bersenjata menawan bas penumpang di wilayah Balochistan hari ini.

Setiausaha Wilayah Haider Ali berkata, kumpulan penyerang yang memakai seragam paramiliter Frontier Corps itu menahan empat buah bas di Lebuhraya Makran yang dalam perjalanan ke bandar pelabuhan Karachi dari bandar Ormara sebelum menembak mati 14 penumpang.

Penyerang dikatakan mengenal pasti penumpang bukan dari Baloch dengan memeriksa kad pengenalan mereka sebelum menembak mangsa.

Kesemua mangsa yang maut dipercayai warga Pakistan termasuk seorang pegawai tentera laut dan anggota pengawal pantai.

Kumpulan pemisah Baloch dilaporkan mengaku bertanggungjawab melakukan serangan tersebut namun menafikan dakwaan penumpang awam menjadi sasaran, sebaliknya kumpulan terbabit hanya menyasarkan anggota tentera laut.

Balochistan yang bersempadan dengan Afghanistan dan Iran merupakan wilayah termiskin di Pakistan yang menjadi lubuk pengganas dan puak pemisah etnik Baloch.

Pihak berkuasa Pakistan telah memerangi puak pemberontak di kawasan terbabit sejak 2004 dan seringkali dituduh melakukan penganiayaan terhadap puak berkenaan namun dinafikan pihak tentera.

Siasatan berhubung insiden kini sedang dilakukan sementara usaha menjejak penyerang bersenjata yang melarikan diri juga giat dijalankan.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri Imran Khan turut mengutuk serangan terbabit. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!