FKTPT 2023 sasar jualan RM1.5 juta

Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang meninjau aktiviti FKTPT 2023 yang diadakan di pusat beli-belah ECM di Kuantan.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang meninjau aktiviti FKTPT 2023 yang diadakan di pusat beli-belah ECM di Kuantan.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 75 usahawan kraf dari Pahang, Terengganu dan Kelantan menyertai Festival Kraf Tekstil Pantai Timur (FKTPT) 2023 yang berlangsung sehingga 29 Januari ini.

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) dalam kenyataannya berkata, FKTPT 2023 yang turut disertai beberapa usahawan dari negeri lain menyasarkan 60,000 pengunjung dan nilai jualan RM1.5 juta.

Menurut kenyataan itu, lokasi festival terletak di East Coast Mall (ECM), Kuantan (Pahang), KTCC Mall, Kuala Terengganu dan Mesra Mall, Kemaman (Terengganu).

"FKTPT 2023 merupakan penganjuran kali yang keempat sejak mula dilaksanakan bermula 2019 untuk mempromosikan produk kraf tekstil iaitu batik, songket, Tenun Pahang Diraja yang dihasilkan usahawan dan komuniti kraf khususnya di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

"Festival yang berlangsung selama 11 hari itu menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk jualan produk kraf (tekstil, hasil rimba dan aneka kraf), pameran ‘Ini Batik Malaysia’, Jom Masuk Institut Kraf Negara, pameran Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja (IKTPD), demonstrasi dan interaktif kraf," katanya.

Jelasnya, penganjuran program itu diharap dapat menggalakkan lebih ramai masyarakat negara ini membudayakan pemakaian produk kraf tekstil tempatan sebagai satu gaya hidup.

"Usaha ini juga dapat menyemarakkan semangat cintakan seni kraf warisan terutama dalam kalangan generasi muda," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!