Rundingan tahunan Malaysia-Brunei tahun ini di Malaysia

Zambry semasa sidang media bersama wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan Anwar ke Brunei selama dua hari. - Foto Bernama
Zambry semasa sidang media bersama wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan Anwar ke Brunei selama dua hari. - Foto Bernama
A
A
A
BANDAR SERI BEGAWAN - Rundingan tahunan pemimpin Malaysia dan Brunei (ALC) yang bertujuan meningkatkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara akan diadakan di Malaysia pada tahun ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pertemuan tahunan dua pemimpin utama dan pegawai kanan dari kedua-dua negara itu bagi mendalami perkara-perkara yang perlu diselaraskan.

"Tahun ini di Malaysia, sebelum ini di Bandar Seri Begawan pada 2021. Ini juga adalah antara perbincangan empat mata saya dengan Menteri Luar Kedua, Brunei Datuk Seri Erywan Mohd Yusof semalam (Isnin).



"Kami bincang dalam usaha kukuhkan hubungan dua negara. Melalui ALC, juga ada beberapa mesyuarat, Pertukaran Surat termasuk hal-hal kita persetujui bersama,” katanya kepada media Malaysia di sini pada Selasa.

Menurut Zambry, dalam pertemuan dengan Erywan, mereka juga ada membincangkan mengenai ASEAN terutama usaha untuk memperkukuh hubungan dalam ASEAN dan tindakan bersama menangani isu dalam negara-negara ASEAN termasuk kedudukan Myanmar.

Beliau berkata, mereka turut berbincang mengenai suasana dalam dunia Islam dan bagaimana Brunei yang menjadi negara contoh dapat dijadikan rujukan.

Zambry berada di Brunei bagi mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan lawatan rasmi dua hari bermula Isnin. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!