Stadium Tuanku Abdul Rahman bakal guna rumput Zeon Zoysia
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) bersetuju untuk menukar rumput di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi di sini kepada jenis Zeon Zoysia yang sesuai untuk kegunaan sukan terutamanya bagi perlawanan bola sepak.
Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, rumput jenis itu mempunyai tekstur rumput yang halus yang telah digunakan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor; Stadium Nasional Singapura dan Stadium Gelora Bung Karno, Indonesia.
Menurutnya, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebelum ini membuat tawaran kepada semua kerajaan negeri untuk memilih satu stadium yang bersesuaian bagi penukaran rumput berkenaan yang menggunakan kaedah perkongsian kos iaitu separuh ditanggung kerajaan negeri dan separuh lagi pihak kementerian.
“Saya telah maklumkan kepada kerajaan negeri pada dua minggu lepas, pada dasarnya kita bersetuju untuk memilih Stadium Tuanku Abdul Rahman untuk tujuan tersebut.
"Bagaimanapun tarikh pelaksanaan penggantian rumput ini belum ditetapkan kerana kita perlu melihat juga jadual perlawanan Liga Super yang akan bermula tidak lama lagi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Jelasnya, kerja pemulihan tanah serta saliran air untuk mengelakkan takungan air akan ditanggung oleh kerajaan negeri, manakala pemasangan rumput oleh pihak KBS.
Dalam pada itu, Mohamad Taufek yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) turut berpendapat sekiranya kerja penggantian rumput itu bertembung dengan perlawanan Liga Super, padang alternatif yang boleh digunakan adalah padang latihan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai atau padang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban 3.
“Dua padang ini digunakan oleh pasukan NSFC untuk menjalani latihan, dan padang tersebut juga lengkap dengan tempat duduk penonton serta saiz yang menepati ketetapan antarabangsa.
"Selain itu, kita mungkin menggunakan padang di negeri berhampiran seperti Melaka dan Selangor, malah ia pernah dilakukan oleh negeri yang lain sebelum ini," katanya.
Tambahnya, rumput Zeon Zoysia mempunyai sistem akar yang luas dan pertumbuhan rizom yang kuat, malah ia menghasilkan rumput padat tebal yang pulih dengan cepat daripada kerosakan dan diperakui dalam ujian terkawal oleh National Turf grass Evaluation Programme (NTEP).
Media sebelum ini melaporkan STAR akan dinaik taraf dijangka bermula Mac ini membabitkan tempat duduk penonton bagi memenuhi piawaian sebagai venue kejohanan bola sepak bertaraf antarabangsa pada masa depan dengan kos RM1.2 juta.
Sementara itu dalam perkembangan berlainan, Mohamad Taufek berkata, seramai 1,500 orang pesilat mewakili 83 pasukan mengesahkan penyertaan bagi Kejuaraan Silat Terbuka Kebangsaan Piala Exco Belia dan Sukan Negeri Sembilan yang julung kali bakal diadakan pada 27 Januari hingga 29 Januari ini.
Katanya, kejohanan itu bukan sahaja dapat meningkatkan ekonomi negeri malah dapat menyumbang kepada pencarian atlet baharu dalam sukan silat menerusi penyertaan peserta seawal umur enam tahun.
"Tujuh kategori bakal dipertandingkan dan para pemenang akan membawa pulang piala kejohanan mengikut kategori, manakala juara keseluruhan bakal membawa piala serta wang tunai berjumlah RM3,000," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!