Amah larikan wang tunai, barang kemas majikan bernilai RM14,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pembantu rumah wanita warga asing yang baru tiga bulan bekerja melarikan diri bersama barang kemas dan wang tunai milik majikannya bernilai RM14,000 di sini.

Kejadian itu disedari pengadu iaitu seorang lelaki berusia 33 tahun pada jam 7.30 malam Ahad, ketika dia sekeluarga pulang ke rumah selepas selesai menghadiri majlis perkahwinan saudaranya di Selangor.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, pembantu rumahnya yang bernama Hendriyawati, 40, tidak menyahut sebaik dipanggil lalu pengadu memeriksa dapur dan mendapati pintu dapur serta pintu pagar belakang telah terbuka.

"Hasil semakan mendapati barang kemas milik anak pengadu dan ibunya telah tiada dalam almari di bilik tidur. Pengadu kemudiannya membuat laporan polis pada Isnin jam 11.44 pagi.

"Pengadu lewat membuat laporan polis kerana dia terlebih dahulu mengesan suspek daripada ejen pekerjaan serta cuba menghubungi beberapa nombor telefon daripada buku catitan milik pembantu rumahnya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ujarnya, hasil siasatan mendapati suspek tidur di bilik tidur bahagian atas bersebelahan bilik tidur pengadu dan beg pakaian suspek masih ada.

"Suspek hanya keluar rumah dengan membawa beg galas milik anak pengadu.

"Kes seterusnya disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!