Orang ramai ada sebab tersendiri ambil dos penggalak Covid-19
KUALA LUMPUR - Walaupun pengambilan dos penggalak kedua vaksin Covid-19 tidak diwajibkan namun orang ramai yang secara sukarela mengambilnya mempunyai alasan tersendiri untuk berbuat demikian.
Penghidap kanser limfoma, Datin Fuzianna Ibrahim, 59, berkata, beliau memilih untuk mendapatkan dos penggalak kedua kerana penyakit itu menjejaskan daya tahan imunnya sehingga mendedahkan beliau kepada risiko tinggi dijangkiti Covid-19.
"Bagi kes saya, memang (pengambilan dos penggalak kedua) sangat diperlukan sebab bukan hanya saya menghidap kanser tetapi saya juga telah melakukan pemindahan sum-sum tulang yang merendahkan lagi keimunan badan saya.
"Saya memang hendak (dapatkan dos penggalak kedua) kerana saya sedar saya ada komobiditi dan kadangkala melakukan perjalanan, saya mahu rasa lebih terlindung... Jadi saya tanya doktor yang merawat kanser saya adakah boleh dan beliau amat mengesyorkannya," kata beliau kepada Bernama.
Bekas ahli farmasi itu turut menyarankan agar penghidap kanser seperti beliau atau yang berisiko terdedah kepada jangkitan Covid-19 disebabkan faktor lain seperti sudah berusia untuk tidak takut mendapatkan dos penggalak kedua.
Bagi petugas media Anis Hazim Sharudin, 26, keputusan untuk melengkapkan pengambilan dos penggalak adalah bagi melindungi dirinya daripada bahaya Covid-19 dan sebagai langkah berjaga-jaga dengan mengambil kira kekerapan beliau ke luar negara.
"Saya sedar risiko jangkitan Covid-19 adalah lebih tinggi apabila berada di kawasan tertutup seperti dalam kapal terbang dan sebelum ini, saya pernah positif Covid-19 selepas pulang mengembara dari luar negara.
"Selain itu, bagi mengadaptasi dengan kehidupan dalam norma baharu terutama keperluan untuk hadir semula ke pejabat membuatkan saya ingin mengambil dos penggalak sebagai perlindungan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Pada masa sama, Anis berkata, proses mendapatkan dos penggalak melalui aplikasi MySejahtera juga amat mudah dan tidak menyukarkan beliau yang sentiasa mempunyai jadual kerja padat.
"Sangat mudah dan saya sangat sarankan kepada keluarga dan rakan. Semuanya dilakukan di aplikasi MySejahtera. Ambil masa seminggu untuk tempah dan klinik pilihan saya hanya 10 minit dari rumah, tidak perlu beratur panjang dan keseluruhan proses adalah kurang daripada 30 minit,” katanya.
Pencipta Kandungan, Zainol Arif Zainal Bahrin, 25, yang bakal mendapatkan dos penggalak kedua pada Rabu pula berpendapat langkah itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosialnya untuk membendung penularan semula Covid-19 selain melindungi diri.
"Saya terpanggil untuk mengambil dos penggalak demi melindungi diri dan masyarakat, kita jaga kita... saya sangat menyarankan orang ramai agar turut mengambil suntikan dos penggalak di samping melindungi diri dan keluarga untuk mengelakkan penularan wabak seperti yang pernah terjadi sebelum ini,” katanya.
Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan. Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan suntikan dos penggalak ditawarkan di 1,293 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara iaitu di 104 hospital Kementerian Kesihatan Malaysia, 754 klinik kesihatan dan 435 PPV swasta.
Beliau berkata, orang ramai yang tergolong dalam kumpulan keutamaan boleh mendapatkan vaksinasi tanpa janji temu atau secara datang terus ke hospital, klinik kesihatan atau PPV swasta manakala kategori lain perlu membuat tempahan janji temu melalui aplikasi MySejahtera atau menghubungi PPV swasta.
Berdasarkan data di laman sesawang KKMNOW setakat tengah malam tadi, sejumlah 16,297,142 atau 49.9 peratus daripada populasi Malaysia telah mengambil dos penggalak pertama dan hanya 759,815 atau 2.3 peratus daripada populasi sama memilih mendapatkan dos penggalak kedua. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!