Jualan Gudang Karangkraf tawar pembelian berbaloi
SHAH ALAM - Jualan Gudang Karangkraf yang bermula 27 Januari hingga 6 Februari ini menawarkan pembelian berbaloi kepada pengunjung yang hadir.
Timbalan Ketua Pegawai Operasi Grup Buku Karangkraf, Izzat Izahar Muhammad Nasir berkata, ia melibatkan pembelian buku latihan dari peringkat tadika, sekolah rendah, menengah dan sekolah agama.
"Untuk kategori buku latihan ini harganya RM3 senaskah tapi kalau beli lima naskah harganya jadi RM10, jadi ada penjimatan di situ," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Selain itu katanya, pengunjung yang hadir juga berpeluang menyertai pertandingan mencari tiket tersembunyi dan mereka yang bertuah akan menerima buku secara percuma.
"Pengunjung yang berminat untuk belajar menulis novel juga boleh menyertai Bengkel Penulisan Novel Gaya Sri Diah pada 4 Februari (10 pagi hingga 1 petang) dengan bayaran penyertaan serendah RM90 sahaja.
"Jadi jangan lepaskan peluang bersama penulis dan editor novel terkenal ini kerana harga yang ditawarkan berpatutan berbanding harga biasa," katanya.
Tambahnya lagi, untuk mereka yang baru hendak berjinak dalam bidang penulisan juga, boleh menyertai Bengkel Penulis Muda bersama panelnya Cik Azzah AR pada 28 Januari (10 pagi hingga 1 petang) dengan bayaran penyertaan RM25.
"Lebih menarik, mereka yang mahu menghantar manuskrip novel untuk diterbitkan boleh bertemu dengan editor novel Karangkaf setiap hari sepanjang jualan gudang ini berlangsung.
"Manakala Sesi Bersama Penulis Novel turut menanti pengunjung pada 28, 29 Januari; 4,5,6 Februari dengan menampilkan penulis Nurul Syahida /Rizal Ramli (Kreativiti Tanpa Batas); Izzad Daniel; Kipas Hikmat dan Ustaz Pahrol Mohd Juai (Seperti Air Yang Mengalir)," katanya.
Izzat berkata, tidak dilupakan kanak-kanak yang hadir juga berpeluang memenangi hadiah menerusi pertandingan mewarna yang diadakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!