Paludan sabotaj perpaduan NATO
WASHINGTON - 'Tindakan ahli politik berhaluan kanan Sweden membakar al-Quran mungkin telah mensabotaj perpaduan dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO)'.
Kenyataan itu dikeluarkan Amerika Syarikat (AS) pada Isnin yang turut mengutuk perbuatan Rasmus Paludan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm pada akhir minggu lalu.
"Membakar kitab suci itu secara terang-terangan tidak menghormati orang Islam. Tindakan tersebut sangat melampaui batas," kata jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price.
Menurutnya, perbuatan Paludan seperti sengaja mencetuskan provokasi kerana mahu mewujudkan jurang antara Ankara dan Stockholm yang kini mula tegang.
"Beliau mungkin 'merancang' untuk mengganggu proses perbincangan tentang penyertaan Sweden dan Finland dalam pakatan tentera itu," ujarnya lagi.
Pada tahun lalu, Sweden dan Finland mengemukakan permohonan untuk menyertai NATO, namun hanya Turkiye dan Hungary masih belum memberi lampu hijau.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dalam satu kenyataan turut membidas Stockholm dan menegaskan ia tidak sesekali akan menyokong hasrat negara itu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!