California berdarah lagi

Lokasi serangan tembakan di ladang cendawan itu turut didiami beberapa keluarga. - Foto: Agensi
Lokasi serangan tembakan di ladang cendawan itu turut didiami beberapa keluarga. - Foto: Agensi
A
A
A

SACRAMENTO - Negeri California di Amerika Syarikat (AS) sekali lagi digemparkan dengan insiden serangan tembakan ganas di dua lokasi.

Syerif Christina Corpus mengesahkan seorang pekerja ladang berketurunan Asia, Chunli Zhao, 67, telah ditahan pada Isnin selepas tujuh individu ditembak mati.

"Unit kecemasan yang bergegas ke ladang di daerah San Mateo, selatan San Francisco menemui sejumlah korban keganasan senjata api itu. Terdapat juga mangsa yang cedera parah dan telah dihantar ke Stanford Medical Center.

"Tiga lagi mangsa maut ditemui di lokasi berasingan. Suspek berjaya diberkas tanpa berlaku insiden pergelutan dan senjata api separa automatik turut ditemui dalam kenderaan miliknya," ujarnya.

Menurutnya, motif serangan tembakan itu yang berlaku di kawasan luar bandar yang turut didiami beberapa keluarga masih disiasat.

"Ia juga disaksikan oleh kanak-kanak yang berada di lokasi tersebut," tambahnya lagi.

Sementara itu, media tempatan melaporkan kesemua mangsa adalah pekerja ladang cendawan yang terletak di pinggir Half Moon Bay.

Dalam insiden berasingan, dua maut ditembak manakala seorang cedera parah dalam kejadian serangan tembakan di sebuah pusat belia di Des Moines, Iowa.

Maklumat diberikan saksi berjaya membawa kepada penahanan tiga suspek untuk membantu siasatan.

Kejadian serangan tembakan yang semakin menggila di AS berlaku beberapa hari selepas 11 mati ditembak imigran Asia berumur 72 tahun di selatan California yang kemudiannya turut membunuh dirinya sendiri. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!