Mersing daerah baharu terjejas, mangsa banjir Johor kini 2,218

Anggota bomba memindahkan mangsa banjir dari Taman Desaru Utama ke PPS SK Bandar Penawar, Kota Tinggi, pada Selasa. - Foto ihsan bomba Johor
Anggota bomba memindahkan mangsa banjir dari Taman Desaru Utama ke PPS SK Bandar Penawar, Kota Tinggi, pada Selasa. - Foto ihsan bomba Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Mersing menjadi daerah baharu terjejas akibat banjir di negeri ini menjadikan mangsa banjir kini berjumlah 2,218 orang daripada 617 keluarga, setakat jam 10 malam.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam satu kenyataan, jumlah mangsa banjir berkenaan meningkat berbanding 1,703 orang daripada 469 keluarga pada jam 8 malam.

"Seramai 52 mangsa melibatkan 16 keluarga dari Kampung Che Wook dan Kampung Sri Pantai di Mersing dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Politeknik Mersing yang dibuka pada jam 8 malam tadi.

"Selain itu, pertambahan mangsa banjir turut berlaku di Segamat iaitu 20 orang melibatkan tujuh keluarga dari Kampung Sekijang yang ditempatkan di Dewan Komuniti Tasek," menurut kenyataan tersebut pada Selasa.

Jawatankuasa itu memberitahu, secara keseluruhan terdapat 52 mangsa banjir melibatkan 16 keluarga dari Mersing; 1,278 orang melibatkan 362 keluarga (Segamat); 450 orang daripada 116 keluarga (Kota Tinggi) dan 438 orang daripada 123 keluarga (Kluang).

Seorang mangsa banjir dari Perumahan SPKR Yap Tau Sah dibantu anggota bomba untuk dipindahkan ke PPS di SJKC Ping Ming, Kluang, pada Selasa. - Foto ihsan bomba Johor
Seorang mangsa banjir dari Perumahan SPKR Yap Tau Sah dibantu anggota bomba untuk dipindahkan ke PPS di SJKC Ping Ming, Kluang, pada Selasa. - Foto ihsan bomba Johor

Sementara itu, JPBD memaklumkan, lima jalan Persekutuan di tiga daerah ditutup sejak jam 4 petang Selasa.

"Dua laluan di Mersing ditutup melibatkan Jalan Johor Bahru-Endau yang dibuka satu lorong dan Jalan Jemaluang-Batu Pahat ditutup untuk kenderaan ringan.

"Di Kota Tinggi pula melibatkan Jalan Ladang Siang sementara di Segamat melibatkan Jalan Senai-Gemas dan Jalan Jabi-Bukit Tempurung, ketiga-tiga jalan berkenaan ditutup untuk semua kenderaan," jelas kenyataan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!