Dunia kini dilanda masalah eggflation
AYAM atau telur...mana satu keluar dahulu?
Teka-teki unik ini agak sukar untuk dijawab hingga menjadi topik perbincangan ilmiah banyak pihak selain turut menjadi soalan agak popular dalam kalangan masyarakat.
Kini, timbul 'soalan' yang lebih membingungkan dan sedang dihadapi kebanyakan negara Barat.
Kenapa harga telur menjadi sangat mahal dan tidak masuk akal hingga wujud istilah eggflation.
Sejak beberapa minggu lalu, rangkaian media telah melaporkan tentang kenaikan melampau harga telur di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada yang didakwa berpunca daripada wabak selesema burung.
Menurut data Jabatan Pertanian AS (USDA), virus avian influenza tersebut yang 'menyerang' pada awal 2022 telah menyebabkan kematian kira-kira 58 juta burung dan disifatkan sebagai wabak terburuk sejak 2015 yang menyaksikan 50 juta burung dimusnahkan.
Hal itu menyebabkan inventori telur di Washington menjadi 29 peratus lebih rendah pada minggu akhir Disember berbanding awal 2022.
Selain itu, harga telur dikatakan meningkat sebagai sebahagian daripada inflasi makanan secara keseluruhan yang didorong oleh kenaikan kos buruh dan logistik.
Pakar berpendapat kos pengangkutan dan makanan yang lebih tinggi dihadapi pengeluar akan menyebabkan pembeli terus berdepan kenaikan harga telur walaupun impak selesema burung sudah reda.
Pada bulan lalu, harga sedozen telur di AS meningkat sehingga 60 peratus kepada AS$4.25 (RM18.31) berbanding tahun lalu dan menjadi lebih mahal berbanding barangan runcit lain.
Indeks harga pengguna menunjukkan harga sedozen telur pada Januari 2022 hanya AS$1.93 (RM8.32).
Di sesetengah negeri di AS, harganya boleh mencecah sehingga lebih AS$7.30 (RM31.45) untuk sedozen telur.
Kenaikan harga telur yang merupakan produk ruji di Washington dianggap agak melampau oleh kebanyakan pembeli walaupun penjual runcit cuba untuk mengekalkan harga yang kompetitif.
Selain itu, tiada banyak pilihan untuk menggantikan telur ayam.
Pengusaha pasar raya juga cuba mendapatkan lebih banyak telur alternatif berasaskan tumbuhan atau jenis khusus seperti telur organik.
Krisis telur yang dihadapi AS turut mengakibatkan rampasan telur yang dijual pada harga lebih rendah dan cuba diseludup masuk ke negara tersebut meningkat kepada lebih 100 peratus.
Bagi mengekang aktiviti penyeludupan telur dari Mexico atau Kanada, pihak berkuasa telah memberi amaran denda sehingga AS$10,000 (RM43,085) terhadap kesalahan sedemikian.
Bukan hanya di AS, Britain juga berdepan situasi sama.
Kenaikan harga telur kepada hampir enam peratus pada Disember 2022 telah mendorong peningkatan kos bahan 'sarapan pagi' kepada kira-kira 5 pound (RM27).
Di Kesatuan Eropah (EU) harga untuk telur bersaiz besar dan sederhana meningkat kepada 69.3 peratus di seluruh blok tersebut bermula November 2021 hingga November 2022.
“Krisis telur pada 2023 akan bergantung kepada perkembangan virus avian influenza dan konflik Rusia-Ukraine. Pengeluaran telur mungkin dapat kembali kepada tahap normal jika jumlah ayam yang dilupuskan berkurangan,” ujar jurucakap Persatuan Pemproses Telur Eropah (EEPA).
Agak berbeza dengan situasi di New Zealand, kekurangan bekalan telur di seluruh negara telah 'mengancam' hidangan pencuci mulut popular, pavlova yang berasaskan meringue berkerak rangup dan isi dalamnya yang lembut serta bertekstur ringan.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Pengeluar Telur di Wellington, Michael Books berkata, jumlah ayam bertelur tidak dapat memenuhi permintaan pembeli.
Kekurangan bekalan telur yang semakin meruncing telah mencetuskan idea yang semakin menjadi 'kegilaan' iaitu membela ayam dan kosnya dikatakan semakin meningkat berikutan permintaan yang tinggi.
Ayam penelur biasanya dijual pada harga NZ$18 (RM50), namun harganya kini mencecah NZ$80 (RM223) seekor yang akan menyebabkan kos untuk membuat pavlova dengan telur segar dikhuatiri akan menjadi lebih mahal.
Melihat kepada eggflation yang semakin meruncing, media sosial kini dibanjiri meme lucu yang menganggap telur sebagai 'simbol kekayaan dan kejayaan' selain lebih berharga berbanding memiliki rumah besar serta kereta sport.
* Marlissa Kamal ialah wartawan Meja Global Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!