Newcastle selangkah ke final Piala Liga
NEWCASTLE United memastikan mereka selangkah ke final Piala Liga selepas menundukkan Southampton 1-0 dalam aksi separuh akhir pertama pada Rabu.
Joelinton meledak gol pada minit ke-73 dalam aksi yang berlangsung di Stadium St Mary untuk mencerahkan peluang pasukan menamatkan kemarau kejuaraan domestik mereka sejak 1999.
Pemain tengah Newcastle Bruno Guimaraes berkata, pasukannya berhak menang dengan jaringan lebih besar, namun mensia-siakan banyak peluang gol.
"Kami mengawal permainan tetapi kami terlepas banyak peluang besar. Ia hanya perlawanan pertama dan sekarang kami perlu memikirkan perlawanan seterusnya. Saya bangga dengan pasukan hari ini.
"Satu gol adalah penting, kami boleh menjaringkan lebih banyak tetapi yang paling penting adalah untuk mempunyai kelebihan satu gol di hadapan Southampton. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Nick Pope, saya rasa dia penjaga gol terbaik di dunia," katanya.
Pope beraksi cemerlang dalam perlawanan tersebut yang turut menyaksikan Newcastle tidak bolos dalam 16 perlawanan terakhir.
Skuad Nathan Jones yang menduduki tangga tercorot Liga Perdana (EPL) nyaris mendapat gol penyamaan menerusi Adam Armstrong tetapi dibatalkan susulan VAR mendapati bola terkena tangannya.
Aksi separuh akhir kedua akan berlangsung di St James Park pada 31 Januari dengan pemenang akan menentang Manchester United atau Nottingham Forest di final.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!