United tempat terbaik untuk Rashford
ERIK ten Hag mahu Marcus Rashford terus kekal di Manchester United dengan sasarannya mahu menjadikan kelab itu sebagai pasukan terbaik dunia.
Rashford telah meledak lapan gol dalam lapan perlawanan buat United dan merupakan penjaring terbanyak kelab itu musim ini.
Kontraknya akan tamat pada 2024, namun ten Hag yakin penyerang England itu akan menyambung kontrak bersama kelab tersebut.
"Ini adalah tempat terbaik kerana kami mahu membina pasukan terbaik – pertama di England, kemudian Eropah, kemudian dunia.
"Ia adalah sulit melibatkan perbincangan antara kelab dan pemain, (tetapi) dia faham Manchester United adalah kelab terbaik untuknya.
"Prestasi Rashford juga bertambah baik, dia memberi komitmen 100 peratus untuk pasukan ini dan dia tahu kami perlukan dia," katanya.
Beberapa pasukan seperti Paris Saint Germain (PSG) dan Real Madrid dikaitkan untuk mendapatkan Rashford apabila kontraknya tamat tahun depan.
Rashford meledak 17 gol dalam semua kejohanan untuk United musim ini dan menyinar bersama England pada Piala Dunia di Qatar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!