Lampard mahu mencari 'angin' baharu

Lampard tekad bangkit lebih kuat. - Foto Agensi
Lampard tekad bangkit lebih kuat. - Foto Agensi
A
A
A

FRANK Lampard merancang untuk mencari 'angin' baharu selepas dipecat sebagai jurulatih kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Everton Isnin lalu.

Menurut satu laporan, jurulatih berusia 45 tahun itu tidak mahu berdiam diri sebaliknya akan kembali berusaha dengan menjadikan kerjaya di luar England sebagai langkah seterusnya.

Bekas bintang Chelsea dan legenda England itu dipecat ekoran prestasi hambar yang menyaksikan kelab Merseyside berkenaan terperosok di tangga kedua tercorot liga.

"Perpindahan ke tempat lain sama ada Sepanyol, Belanda, Jerman atau Amerika Syarikat berada dalam fikirannya. Dia perlukan angin baharu untuk kembali bangkit," petik laporan tersebut.

Laporan itu menambah, kegagalan di Everton menjadikan Lampard lebih kuat dan berazam untuk kembali membuktikan kemampuannya sebagai seorang jurulatih berjaya.

"Frank (Lampard) sangat kecewa dengan apa yang berlaku di Everton. Dia sayang kelab, penyokong dan mahu memacu kedudukan Everton.

"Dia bekerja keras. Namun terpaksa akur dengan kegagalannya, tetapi pada masa sama dia yakin kekecewaan dan pengalamannya itu akan menjadikannya lebih kuat sebagai pengurus," katanya.

Laporan itu menambah, Lampard seorang pengurus yang berfikiran jauh dan kegagalan di Everton menjadi satu pengalaman berharga untuk bangkit semula.

"Dia gemar melihat ke arah masa depan. Dia akan bercuti, melihat kembali apa yang berlaku dan akan kembali tidak lama lagi," ujar laporan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!