Pemuda dikhuatiri lemas, bot terbalik

Seorang pemuda dikhuatiri lemas apabila bot yang dinaiki bersama bapa saudara dan rakan terbalik di Sungai Kelantan berhampiran Jambatan Guillemard, Machang pada Selasa. (Gambar kecil: Che Hishamuddin)
Seorang pemuda dikhuatiri lemas apabila bot yang dinaiki bersama bapa saudara dan rakan terbalik di Sungai Kelantan berhampiran Jambatan Guillemard, Machang pada Selasa. (Gambar kecil: Che Hishamuddin)
A
A
A

MACHANG - Seorang pemuda dikhuatiri lemas apabila bot yang dinaiki bersama bapa saudaranya dan seorang rakan terbalik di Sungai Kelantan berhampiran Jambatan Guillemard di sini pada Selasa.

Kejadian jam 9 malam itu dipercayai berlaku ketika mangsa, Che Hishamuddin Che Zulkifli, 21, dari Kampung Paloh Rawa, di sini dalam perjalanan pulang selepas memancing.

Bapa saudaranya, Che Abdullah Che Ahmad, 42, berkata, mereka bertiga dikatakan keluar sekitar jam 5 petang pada hari kejadian.

"Semasa dalam perjalanan pulang, bot yang dinaiki mereka terlanggar tali di kawasan projek menyedut pasir. Pelanggaran itu menyebabkan bot mereka terbalik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Menurutnya, adiknya, Che Mohd Subri, 39, dan seorang lagi rakan terselamat apabila mereka sempat berpaut pada tali yang mengikat kapal menyedut pasir manakala Che Hishamuddin didapati hilang.

Ujarnya, operasi mencari dan menyelamat masih dilakukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Kami berharap orang ramai yang tinggal dan melakukan aktiviti di sepanjang Sungai Kelantan dapat membantu mencari Che Hishamuddin.

"Dengan pertolongan semua diharap dia dapat ditemukan secepat mungkin," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd Adli Mat Daud mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!