Bakar al-Quran: Netizen ajak boikot produk Sweden

Rakyat Malaysia mengutuk sekeras-sekerasnya tindakan tersebut selain menganggap perbuatan itu adalah biadab selain mencemar kitab suci umat Islam. (Gambar kecil: Facebook PU Rahmat & Pemilik akaun Facebook bernama Mohd Asri Mat Daud)
Rakyat Malaysia mengutuk sekeras-sekerasnya tindakan tersebut selain menganggap perbuatan itu adalah biadab selain mencemar kitab suci umat Islam. (Gambar kecil: Facebook PU Rahmat & Pemilik akaun Facebook bernama Mohd Asri Mat Daud)
A
A
A

SHAH ALAM - Ramai pengguna di media sosial mengajak rakyat Malaysia untuk memboikot produk keluaran dari Sweden.

Seruan itu dibuat susulan tindakan membakar al-Quran oleh politikus ekstrem sayap kanan Denmark-Sweden, Rasmus Paludan di depan kedutaan Turkiye di Stockholm pada Sabtu lepas.

Rakyat Malaysia mengutuk sekeras-sekerasnya tindakan tersebut selain menganggap perbuatan itu adalah biadab selain mencemar kitab suci umat Islam.

Tinjauan Sinar Harian di media sosial mendapati carian 'boikot Sweden' trending di media sosial dan ramai pengguna mengajak rakyat Malaysia memboikot jenama serta produk keluaran Sweden di negara ini.

Beberapa figura terkenal di Malaysia telah menyuarakan tindakan boikot antaranya penyanyi rap sensasi, Ariz Ramli atau Caprice dan Pencetus Ummah (PU) Rahmat yang menggesa orang ramai untuk memboikot produk keluaran negara berkenaan.

Kebanyakan pengguna di dalam ruangan komen di media sosial selebriti terbabit turut menyahut seruan untuk memboikot produk Sweden selain menyatakan bantahan atas tindakan tidak bertamadun itu.

Selain itu, menurut pemilik akaun Twitter @amirwahir, dua tindakan perlu dilakukan kepada Rasmus Paludan iaitu menunjukkan akhlak yang baik dengan tidak menghina serta memboikot produk keluaran dari Sweden.

"Pastilah kita perlu menunjukkan respon dengan dua cara. Pertama, doakan kebaikan dan tunjukkan akhlak yang baik, jangan maki hamun.

"Kedua, boikot produk Sweden sebab manusia apatah lagi negara hanya akan tunduk apabila ekonomi mereka tergugat," ujarnya.

Dalam pada itu, pemilik akaun Facebook bernama Mohd Asri Mat Daud menyatakan boikot barangan adalah salah satu senjata perang yang berkesan.

"Namun umat Islam sebilangannya tidak pernah kisah hal ini. Sebab itu musuh Islam tidak pernah gerun kepada umat Islam zaman kini.

"Bertegaslah dengan golongan yang menghina kitab Allah dan beri pengajaran kepada pelaku dan sekutunya! Boikot barangan Sweden!" katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!