1,649 kemalangan direkod hari ketujuh Op Selamat 19
KUALA LUMPUR - Sebanyak 1,649 kemalangan direkodkan pada hari ketujuh Op Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina di seluruh negara, pada Selasa.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, statistik kemalangan itu membabitkan 2,002 kenderaan terbabit.
"Berdasarkan statistik jumlah mengikut kenderaan terbabit dalam kemalangan jalan raya mencatatkan 1,492 kereta, kenderaan pacuan empat roda (269), motosikal (168), van (30), lori (28), bas (11), teksi (tiga) dan basikal (satu)," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Pada Isnin media melaporkan Polis Diraja Malaysia menerusi JSPT menggunakan pendekatan advokasi dan kempen keselamatan jalan raya dalam usaha meminimumkan kadar kemalangan jalan raya dan meningkatkan kawalan pencegahan jenayah pecah rumah sepanjang musim perayaan.
Inisiatif yang dilaksanakan adalah langkah pencegahan kemalangan jalan raya, memberi penekanan berkenaan keselamatan di jalan raya di samping mendidik pengguna mengamalkan sikap pemanduan berhemah dan mematuhi undang-undang jalan raya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!