OKU hilang: Ibu yakin Rabaah masih di sekitar Kuala Pilah
KUALA PILAH - Ibu kepada seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang sejak seminggu lalu yakin anak tunggalnya itu masih berada di sekitar pekan Kuala Pilah.
Azizah Husin, 56, bagaimanapun bimbang akan kesihatan anak gadisnya, Rabaah Laily, 33, yang merupakan OKU pekak dan bisu susulan bergantung kepada ubat-ubatan selain merupakan pesakit psikiatri.
"Dia ada sakit kencing manis, darah tinggi dan kolestrol. Setiap hari perlu makan ubat, kalau tak keadaannya mungkin sedikit agresif dan gelisah.
"Ini bukan kejadian kali pertama, sebelum ini dia pernah hilang tetapi tak lama hanya dua hingga empat jam sahaja malah tidak pernah pergi jauh lebih dari jarak dua kilometer," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Juasseh di sini pada Rabu.
Ujarnya, usaha untuk mengesan anaknya itu terus dipergiat disekitar Kuala Pilah malah turut mendapat bantuan daripada saudara-mara dan rakan-rakannya termasuk membuat hebahan di media sosial.
"Sekelip mata dia hilang, masa itu saya sedang menunggu giliran untuk ambil ubat. Sebelum itu keadaannya agak gelisah sebab lama menunggu giliran, sebaik selesai ambil ubat dia hilang.
"Saya yakin dia masih ada di sekitar pekan Kuala Pilah. Ketika hilang dia memakai tudung berwarna coklat bercorak belang hitam, berbaju lengan panjang dan berseluar berwarna coklat," katanya.
Azizah yang juga seorang ibu tunggal meminta bantuan orang ramai supaya menghubunginya segera sekiranya melihat anak gadisnya itu atau memberikan maklumat ditalian 011-2355 8801 ataupun menghubungi balai polis berhampiran.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan, seorang wanita OKU dilaporkan hilang ketika menunggu nombor giliran mengambil ubat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, polis menerima laporan berhubung kehilangan Rabaah Laily, 33, yang merupakan OKU bisu daripada ibunya pada Jumaat lalu.
Tambahnya, pengadu cuba mencari anaknya dengan bertanya kepada pengawal keselamatan bertugas namun tiada maklumat diperoleh.
Selain itu, gadis itu merupakan pesakit psikiatri dan masih menerima rawatan sejak berusia 15 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!