Konstabel melecur redah kebakaran

Mangsa kini ditempatkan di zon merah di HTAR untuk mendapatkan rawatan lanjut. Gambar kanan: Dua motosikal turut hangus dalam kejadian itu. - Foto Ihsan PDRM & BBP Sungai Pinang
Mangsa kini ditempatkan di zon merah di HTAR untuk mendapatkan rawatan lanjut. Gambar kanan: Dua motosikal turut hangus dalam kejadian itu. - Foto Ihsan PDRM & BBP Sungai Pinang
A
A
A
KLANG – Seorang anggota polis berpangkat konstabel melecur di bahagian muka, kedua-dua tangan dan kaki apabila rumah sewa dihuni bersama dua lagi rakan terbakar dalam kejadian di Taman Sungai Kapar Indah, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, mangsa, Azizul Mohd Atan, 26, yang bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara mengalami kecederaan ketika cuba menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang, Zaidi Ahtan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.33 pagi berhubung kejadian itu.

Menurutnya, seramai 14 anggota bersama dua jentera dan sebuah ‘water tanker’ dari BBP Sungai Pinang dan BBP Kapar bergegas ke lokasi kejadian.

“Kebakaran dipercayai bermula di bahagian ruang tamu dan ketika itu mangsa berada di dalam bilik bahagian atas.

“Mangsa ketika itu tersedar dari tidur mengambil keputusan meredah api bagi menyelamatkan diri. Dua lagi rakan mangsa tiada di rumah ketika kejadian berlaku.

“Akibat kejadian itu, mangsa melecur kira-kira lima hingga 10 peratus di bahagian muka, tangan dan kaki,” katanya.

Zaidi berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memadamkan kebakaran.

“Mangsa kini ditempatkan di zon merah di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk mendapat rawatan lanjut.
Artikel Berkaitan:


“Kebakaran itu juga menyebabkan tingkat bawah hangus 40 peratus manakala tingkat atas turut terjejas akibat bahang. Dua buah motosikal jenis Yamaha Lagenda dan Yamaha LC 135 musnah 100 peratus,” katanya.

Menurutnya, kerugian dianggarkan kira-kira RM20,000 manakala punca kebakaran masih dalam siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!