Kontraktor Melaka dakwa bakal gulung tikar

Abdul Aziz menyerahkan salinan memorandum kepada wakil Ketua Menteri.
Abdul Aziz menyerahkan salinan memorandum kepada wakil Ketua Menteri.
A
A
A

MELAKA - Lebih 1,000 kontraktor di negeri ini didakwa akan terjejas dan gulung tukar sekiranya kerajaan negeri memberikan projek di bawah peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia, (MARRIS) kepada syarikat-syarikat konsesi yang dilantik.

Wakil kontraktor, Abdul Aziz Abu Shah berkata, jika kerajaan negeri tidak melakukan sesuatu tidak mustahil kontraktor terutama kontraktor kelas F bakal kehilangan kerja termasuk pekerja mereka akan menganggur.

Menurutnya, sebelum ini kerja-kerja menyelia dan menguruskan penyelenggaraan jalan di negeri ini diserahkan kepada kontraktor kecil melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) namun berbeza apa yang berlaku pada awal tahun ini.

"Kami kontraktor kecil di negeri bakal kehilangan pekerjaan apabila syarikat konsesi terbabit menguasai semua projek kerajaan.

"Fikirkan nasib kami dan pekerja, sudahlah Ramadan nak dekat dan kemudian hari raya, macam-macam masalah.

"Harap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mempertimbangkan dengan sehalus-halusnya dan jangan memikirkan pihak yang 'perut besar' sahaja, bagaimana kami yang perut kecil juga nak makan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan pelantikan sebuah syarikat konsesi di luar pekarangan Kompleks Seri Negeri, di Ayer Keroh di sini, pada Rabu.

Tambah Abdul Aziz mendakwa, pelantikan syarikat konsesi itu dilakukan pada awal tahun ini dan syarikat konsesi terbabit akan melaksanakan projek-projek kecil.

"Antaranya melibatkan pembinaan jalan raya dan jalan kampung, parit, longkang serta balai raya yang sebelum ini dilaksanakan kontraktor kelas F," katanya lagi.

Terdahulu lebih 50 kontraktor kecil mengadakan perhimpunan aman bagi membantah langkah kerajaan negeri sebelum menyerahkan memorandum bantahan itu kepada wakil Pejabat Ketua Menteri.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!