Pemancing hanyut 14 jam, makan sotong hidup untuk bertahan
KOTA KINABALU - Seorang lelaki terpaksa makan sotong hidup untuk bertahan sepanjang 14 jam hanyut di perairan antara Pulau Manggalum dan Pulau Gaya di sini pada Selasa.
Al Sipal Abdullah, 31, berjaya menyelamatkan diri daripada lemas akibat seharian hanyut sejak jam 10.30 pagi selepas menemui kru sebuah kapal kira-kira jam 11.30 malam.
Difahamkan, Al Sipal bersama dua lagi rakannya keluar memancing di perairan berkenaan pada jam 4 pagi dengan menggunakan bot masing-masing untuk bergerak.
Bagaimanapun, bot yang dinaikinya ditemui dalam berpusing oleh dua rakannya manakala mangsa tidak berada di kawasan berkenaan.
Menurut sepupunya, Sahidjuan Abdul Rahim, 37, selepas dimaklumkan kehilangan Al Sapal, dia bergegas membuat laporan polis kira-kira jam 4 petang.
"Saya buat laporan polis di Balai Polis Alam Mesra untuk mendapatkan bantuan berikutan kehilangan sepupu saya di laut.
"Namun keadaan cuaca kurang baik ketika itu menyukarkan operasi mencari dan menyelamat Al Sipal.
"Tetapi kami akhirnya menerima maklumat bahawa Al Sipal berjaya diselamatkan oleh kru kapal di kawasan belakang Sepanggar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Katanya lagi, sebaik menerima maklumat berkenaan, dia dan beberapa orang bertindak mencari kapal berkenaan untuk mengambil Al Sipal.
"Kami tiba di kapal itu kira-kira jam 1 pagi dan Al Sipal ditemui dalam keadaan lemah kerana terlalu lama hanyut di laut selain kehabisan tenaga kerana berenang.
"Al Sipal diberi rawatan awal sebelum kami bawa dia pulang ke rumah selepas keadaannya beransur pulih," katanya.
Ditanya bagaimana Al Sipal mampu bertahan selama 14 jam di laut, Sahidjuan berkata, sepupunya itu terpaksa memakan sotong hidup serta menggunakan teknik berenang mengikut arus.
"Dia memaklumkan terpaksa menggunakan teknik berenang secara menelentang dan hanya mengikut arus yang kebetulan ketika itu menghala ke tanah besar.
"Pada masa sama, dia terpaksa memakan sotong hidup untuk bertahan untuk mendapatkan tenaga.
"Pada mulanya dia yang digigit sotong dan terasa pedih tetapi disebabkan mahu hidup dia yang makan sotong berkenaan," katanya.
Sahidjuan berkata, sepupunya itu ketika ini dalam keadaan sihat dan sedang berehat di rumah keluarganya di Rugading, Tuaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!