Jualan Gudang Karangkraf tawar diskaun 50 peratus item baharu
SHAH ALAM - Jualan Gudang Karangkraf 2023 yang bermula 27 Januari hingga 6 Februari ini menawarkan diskaun 50 peratus bagi item baharu terbitan syarikat itu.
Penolong Pengurus Besar Jualan Grup Buku Karangkraf, Roziyana Omar berkata, ia terdiri daripada al-Quran, novel, buku agama dan buku latihan sekolah terkini yang terhad kepada 500 cetakan sahaja.
“Pengunjung yang hadir dihadkan untuk membeli satu barangan sahaja daripada item istimewa itu.
“Jadi, jangan lepaskan peluang untuk menghadiri jualan ini, segala fasiliti seperti gerai makanan dan surau juga kita sediakan semasa acara tersebut,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sementara itu, eksekutif penyelidikan dan pembangunan grup buku itu, Siti Rahmah Mokhtaruddin berkata, mana-mana individu yang ingin menceburi bidang penulisan novel dijemput menyertai Bengkel Penulisan Novel Gaya Sri Diah pada 4 Februari (10 pagi hingga 1 petang).
Jelasnya, masih terdapat banyak kekosongan yang tersedia untuk program tersebut.
“Limitasi penyertaan program ini melibatkan 15 peserta sahaja, namun setakat ini yang mendaftar cuma tiga orang, jadi ada 12 kekosongan lagi, jadi masih banyak lagi,” ujar beliau.
Siti Rahmah menambah, pihaknya turut membuka Meja Manuskrip pada Isnin hingga Jumaat semasa jualan itu bagi mengetengahkan bakat baharu penulis daripada setiap genre.
“Kita jemput penulis atau bakal penulis yang ada manuskrip atau idea manuskrip untuk datang dan bawa proposal masing-masing.
“Jadi daripada itu, mereka boleh dapatkan konsultasi secara langsung dengan editor,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!