Mangsa ribut terima bantuan
ALOR SETAR - Sebuah rumah di Kampung Bukit Teriak, Telaga Mas, di sini, mengalami kerosakan selepas dilanda ribut dalam kejadian pada Selasa lepas.
Mangsa, Ku Zamri Ku Hashim, 47, berkata, mereka berdepan detik mencemaskan apabila ribut dan angin kencang melanda kawasan berkenaan kira-kira jam 4 petang.
Menurutnya, mereka sekeluarga terkejut dengan bumbung rumahnya diterbangkan angin memandangkan ribut itu merupakan kejadian kali pertama yang menimpa keluarga.
"Lebih kurang jam 4 petang, angin kencang hingga menyebabkan ribut telah melanda kawasan Telaga Mas secara tiba-tiba hingga menyebabkan kerosakan.
"Akibat kejadian ribut itu, kira-kira 30 peratus bumbung rumah kami iaitu di bahagian ruang tamu tercabut sebelum diterbangkan angin," katanya.
Bagaimanapun, nasib Ku Zamri mendapat perhatian Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) melalui Pejabat Zakat Daerah Kota Setar (PZDKS) bersama Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar (PKMDKS) turun padang menziarahi mangsa ribut, semalam.
Ku Zamri berkata, dia berterima kasih kepada LZNK khususnya dan para pembayar zakat amnya serta PKMDKS kerana sentiasa cakna kepada isu masyarakat setempat.
Terdahulu, ziarah bersama terbabit adalah hasil daripada Strategi Laut Biru (BOS) PZDKS dan PKMDKS dalam isu komuniti setempat serta golongan asnaf khususnya isu pengurusan bencana.
Turut hadir, Penghulu Mukim Telaga Mas, Nasrulsafarin Ahmad Razi.
Dalam ziarah itu, Ku Zamri menerima bantuan wang ihsan kecemasan dan Kit Bantuan Makanan Asasi LZNK sebagai tanda keprihatinan kepada mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!