Polis tahan suspek kes penemuan mayat dalam semak
MARANG - [DIKEMAS KINI] Polis menahan suspek yang disyaki mempunyai kaitan dengan penemuan mayat wanita di dalam semak di Kampung Alor Gali di sini minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, suspek akan direman di Mahkamah Majistret Marang, pada Khamis.
"Pihak polis berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh tidak sampai satu minggu susulan penangkapan suspek.
"Satu sidang akhbar berhubung kes ini akan diadakan dalam tempoh terdekat," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.
Sementara itu, beliau berkata, mayat wanita yang dijumpai pada 19 Januari lalu disahkan sebagai Zarina Mukhtar, 57.
Jelas beliau, mangsa adalah individu sama yang ditularkan kematiannya menerusi laman sosial Facebook pada Selasa.
"Pengesahan identiti mayat dibuat berpandukan kepada padanan rekod cap jari yang tersimpan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melalui Pusat Pendaftaran Penjenayah Malaysia & Singapura (D2) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman," katanya.
Sebelum ini media melaporkan mayat wanita tanpa identiti ditemukan dalam kawasan semak di Kampung Alor Gali di sini, pada 19 Januari lalu.
Mayat tersebut ditemukan orang awam yang mencari daun palas di kawasan itu yang terletak kira-kira 30 meter dari jalan utama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!