Untung tak dapat, 'lebur' RM51,806

Seorang peniaga produk makanan dalam talian berputih mata apabila bukan sahaja gagal menerima keuntungan dijanjikan malah wang berjumlah RM51,806 yang dilaburkan turut lesap.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
Seorang peniaga produk makanan dalam talian berputih mata apabila bukan sahaja gagal menerima keuntungan dijanjikan malah wang berjumlah RM51,806 yang dilaburkan turut lesap.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
A
A
A

KUANTAN - Tertarik dengan tawaran skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan dan cepat, seorang peniaga produk makanan dalam talian berputih mata apabila bukan sahaja gagal menerima keuntungan dijanjikan malah wang berjumlah RM51,806 yang dilaburkan turut lesap.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, nasib malang menimpa wanita berusia 28 tahun itu bermula 13 Disember tahun lalu selepas menerima iklan pelaburan melalui aplikasi Telegram.

Menurutnya, mangsa tertarik untuk menyertainya apabila dijanjikan keuntungan 10 peratus daripada wang yang dilaburkan dan pulangan itu akan diterima selepas tiga hari.

"Mangsa bersetuju untuk menyertai skim pelaburan tersebut selepas mengadakan perbincangan mengenainya.

"Mangsa membuat lima transaksi pembayaran melalui empat akaun berbeza membabitkan jumlah pelaburan berjumlah RM51,806 sebelum menyedari ditipu apabila skim pelaburan itu tidak wujud," katanya.

Ramli berkata, susulan itu, mangsa tampil membuat laporan di sebuah balai polis di Kuantan pada Selasa.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dengan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.

"Sekiranya menerima tawaran skim pelaburan, semak kesahihannya terlebih dahulu dengan pihak polis atau dapatkan maklumat dari agensi berkaitan sebagai langkah pencegahan daripada menjadi mangsa pelaburan yang tidak wujud," katanya.

Beliau berkata, orang ramai digesa membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima melalui pautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!